Kemelut Bersatu tak jejas komponen PN hadapi PRN Sabah -Tuan Ibrahim

KOTA KINABALU - Kemelut yang sedang melanda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di peringkat pusat tidak menjejaskan rakan komponen dalam Perikatan Nasional (PN) untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) di Sabah bulan ini.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, isu yang berlaku dalam Bersatu merupakan perkara dalaman yang boleh diselesaikan melalui mekanisme parti itu sendiri.

"Dalam konteks Sabah, tidak ada isu sangat. Apa yang disebut oleh Tan Sri tadi (Tan Sri Annuar Musa), tempat lain pun ada sedikit rombak, kita susun dan perkukuhkan balik.

"PN di Sabah ini tidak berlaku. Adalah sikit pergolakan di Semenanjung, beberapa kawasan. Tapi saya anggap Bersatu harus selesaikan. Mereka ada mekanisme untuk menyelesaikan masalah dalam setiap parti. Bagi kita, kita serahkan ini kepada pengurusan Parti Bersatu,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Jentera dan Hari Keluarga Mega PN Karambunai di Padang Taman Sepanggar, di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai situasi rakan komponen PN yang dilihat sedang bergolak susulan tindakan disiplin melibatkan beberapa pemimpin Bersatu.

Menurut Tuan Ibrahim lagi, fokus utama PN ketika ini adalah mengukuhkan jentera serta strategi bagi memastikan gabungan itu menawarkan kepimpinan terbaik kepada rakyat Sabah.

Ditanya mengenai kemungkinan menjalinkan kerjasama dengan parti tempatan Sabah, beliau berkata perkara itu hanya akan dipertimbangkan selepas keputusan PRN diumumkan.

"Insya-ALLAH siapa yang akan kita kerjasama, kita bergantung kepada keputusan nanti. Apa yang penting bagi kita, kita nak menang atas tiket PN. Soal gabungan dan sebagainya, buat masa ini kita tak ada dalam kepala lagi. Kita tumpukan dulu tenaga kita untuk PN," katanya.

Menjawab pandangan bahawa sentimen pengundi Sabah ketika kini lebih memihak kepada parti-parti tempatan Tuan Ibrahim berkata, Sabah mempunyai sejarah politik yang unik dan tidak menolak kepimpinan parti nasional.

"Saya tidak akan kata demikian sebab sejarah Sabah ini berbeza sikit. Sebab daripada dulu Barisan Nasional (BN), kemudian pilihan raya dulu pun PN. Jadi sentimen 'Sabah for Sabahan' itu bukan maksud bahawa tak boleh terima parti luar, tidak berlaku di Sabah.

"Cuma apa yang saya lihat seperti di Johor, ini bangsa Johor manakala di Terengganu pun ada Gagasan Terengganu Kita, itu sentimen untuk negeri. Jadi dalam konteks politik Sabah ini, dia dinamik, dia terbuka sejak dulu lagi.

"Sebab itu kita yakin kali ini pun pengundi Sabah akan memilih PN sebab walaupun parti itu mungkin presidennya daripada Semenanjung, tapi seluruh kepimpinan PN Sabah ini daripada orang Sabah jadi isu itu tidak timbul," jelasnya.