KJ kembali kepada UMNO, itu adalah hak individu – Fahmi

SHAH ALAM – Keputusan untuk menyertai mana-mana parti politik adalah hak individu dan tertakluk kepada proses serta keputusan parti masing-masing, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya belum mendapat apa-apa kepastian mengenai tindakan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin kembali kepada UMNO.

“Saya belum berhubung dengan beliau. Biar saya telefon dia nanti,” katanya selepas merasmikan sambutan Hari Kurier Negara 2025 di Pusat Konvensyen Shah Alam pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan bahawa Khairy berhasrat kembali menyertai semula parti berkenaan.

Fahmi dalam masa sama menegaskan kerajaan bersikap neutral terhadap sebarang urusan atau perkembangan melibatkan parti politik.

“Kami neutral. Fokus kerajaan sekarang seperti disebut oleh Perdana Menteri di Parlimen ialah bertungkus-lumus menyelesaikan isu yang boleh menjadikan Malaysia destinasi tumpuan pelabur asing dan negara-negara besar,” katanya.

Fahmi turut menekankan apa yang menjadi keutamaan kerajaan kini adalah memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha memperkukuh ekonomi negara serta menarik pelaburan asing, selaras dengan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen baru-baru ini.

“Seperti Perdana Menteri sebut di Parlimen, kita bertungkus lumus untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama bagi negara-negara besar. Inilah fokus dan tugas utama kerajaan Malaysia pada waktu ini," katanya.

Fahmi turut menambah bahawa kerajaan sedang memperkukuh aspek tadbir urus, meningkatkan usaha membanteras rasuah serta melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan imej negara terus harum di peringkat antarabangsa.

Terdahulu, Khairy dilaporkan menyatakan hasrat untuk kembali menyertai UMNO dalam satu pertemuan tidak rasmi bersama Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada majlis resepsi perkahwinan anak Pengerusi UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman baru-baru ini.

Sumber UMNO Selangor yang rapat dengan Khairy mengesahkan perkara itu kepada Sinar Harian, memaklumkan bahawa bekas Menteri Kesihatan itu menyatakan kesediaan untuk membincangkan kaedah terbaik bagi kembali ke pangkuan parti.