KOTA KINABALU – Perikatan Nasional (PN) berkemungkinan bertanding di sehingga 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17), melepasi sasaran awal sebanyak 36 kerusi sebelum ini.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jumlah kerusi yang bakal ditandingi gabungan itu mungkin bertambah selepas mengambil kira potensi beberapa kawasan tambahan.
**media[3326485]**"Saya rasa ada tambahan, mungkin (40 kerusi). Saya lihat dalam PN itu lebih daripada 36 kerusi, ada kemungkinan ada tambahan-tambahan," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Jentera dan Hari Keluarga Mega PN Karambunai di Padang Taman Sepanggar, di sini, pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai agihan kerusi bersama parti komponen dalam PN untuk bertanding pada PRN kali ini.
Tuan Ibrahim berkata, pengumuman rasmi calon PN Sabah akan dibuat dalam tempoh terdekat selepas proses pemuktamadan senarai nama selesai.
"Kita masih lagi dalam peringkat akhir pemuktamadan kerusi tersebut. Pengisytiharan calon dan pelancaran jentera seluruh Sabah akan dimaklumkan nanti, 7 atau 8 November minggu depan. Pengisytiharan calon dijadualkan pada 11 November.
"Jadi pada waktu itu, kita cuba nak maklumkan bahawa calon sekarang sedang diteliti, semua nama-nama yang diangkat sedang dipertimbang untuk kita luluskan. Kalau dalam Pas, kita ada Majlis Syura yang akan menyemak semua calon-calon kita.
"Dalam PN, kita ada akujanji kepada semua calon yang akan dibuat sebelum watikah diberi kepada calon pada 11 November nanti. Jadi soal kerusi, soal siapa calon, akan diputuskan pada tarikh itu nanti,” jelasnya.
Ditanya mengenai calon Pas di kerusi DUN Karambunai, beliau memberi bayangan bahawa Pesuruhjaya Pas Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan akan diangkat sebagai calon, namun perkara itu masih belum dimuktamadkan.
“Ya, saya belum boleh umum lagi. Biar ‘suspens’ sikit. Insya-ALLAH, Karambunai ini kita yakin... macam calonnya sebelah saya, tapi saya tak boleh sahkan lagi. Belum sah lagi, takut nanti dia buat 'posting', nanti tak jadi. Tapi Insya-Allah calon kita calon yang terbaik, calon rakyat," katanya.
Mengulas sama ada prestasi Aliakbar, yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan, boleh menjadi pemangkin kepada sokongan rakyat terhadap Pas di Sabah, beliau melihatnya sebagai satu perkembangan positif daripada pengundi.
"Saya terima maklum, respons pengundi di Sabah ini terhadap ADUN lantikan, Dr Aliakbar khususnya, sebab beliau terus berkhidmat walaupun tiada kawasan khusus dan tetap turun ke kawasan.
"Jadi ini rakyat nilai, sepanjang tempoh beliau dilantik sebagai ADUN lantikan, bagaimana beliau berkhidmat kepada rakyat. Jadi saya fikir, sangat positif," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jentera Pilihan Raya PN Sabah, Tan Sri Annuar Musa berkata, tinjauan awal menunjukkan sokongan rakyat terhadap PN semakin meningkat di beberapa kawasan.
"Secara umum, daripada tinjauan yang telah saya buat di kawasan-kawasan yang berpotensi untuk kita bertanding, nampaknya semangat jentera dan sambutan daripada rakyat sangat tinggi. Ini satu permulaan yang baik," katanya.
Menurut Annuar, faktor kesediaan dan kekuatan jentera akar umbi turut menjadi asas kepada proses perundingan pembahagian kerusi di Sabah.
"Saya dah lihat keadaan di Pantai Timur, di Tawau, Kalabakan, di Lahad Datu banyak... Sebab itu perundingan kerusi pun berdasarkan kepada kesanggupan jentera di akar umbi, kesemuanya gairah,” jelasnya.
"Sebab itu saya rasa, seperti yang disebut oleh Datuk Seri tadi, jumlah kerusi yang ditandingi pun mungkin dah bertambah melebihi 36 kerusi kerana sambutan yang baik," katanya.