SHAH ALAM - Malaysia dikhuatiri telah mengorbankan kemerdekaan negara demi memuaskan kehendak Amerika Syarikat (AS) dalam urusan perdagangan dengan negara tersebut.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, hubungan perdagangan antara kedua-dua negara kini bukan lagi bersifat timbal balik, sebaliknya memperlihatkan bagaimana Malaysia tunduk kepada kehendak kuasa besar itu.
"Malangnya, dalam perdagangan timbal balik antara Amerika Syarikat dan Malaysia, kita telah korbankan kemerdekaan kita dengan membenarkan negara ini mengenakan kehendaknya ke atas kita.
"Apa yang kita saksikan bukanlah satu perkongsian, jauh sekali timbal balik. Ia penyerahan kebebasan ekonomi yang kita bina dan telah pertahankan dengan susah payah," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.
Beliau juga seolah-olah kecewa apabila menyaksikan bagaimana pemimpin kini sanggup menyerahkan kemerdekaan negara hanya demi kepentingan sementara dan pengiktirafan kuasa asing.
"Saya tak pernah fikir yang saya akan hidup untuk menyaksi bagaimana pemimpin Malaysia sanggup serah kemerdekaan kita hanya untuk nampak hebat buat beberapa minit dan diusap kepala oleh pemimpin asing.
"Tapi ini yang berlaku dan kini kita terpaksa tunduk pada kehendak Amerika Syarikat dalam hampir semua urusan perdagangan dan ekonomi kita. Ternampak yang kita telah serah kedaulatan kita," ujarnya.
Beliau mengingatkan pemimpin terdahulu berusaha keras untuk menentukan nasib sendiri pada tahun 1957 diikuti usaha menghapus pengaruh asing ke atas negara terutama dalam perdagangan dan ekonomi pada tahun-tahun berikutnya.
"Tentu rakyat Malaysia masih ingat 'Dawn Raid' dan 'Buy British Last' sebagai contoh keazaman kita pertahan kemerdekaan dan keengganan kita untuk ikut telunjuk kuasa asing kerana kita negara merdeka dan kita sanggup mati untuk pertahankan kedaulatan kita," kongsi Dr Mahathir.
Bagaimanapun, beliau melihat Malaysia kini seolah-olah terikat dengan pelbagai syarat yang ditetapkan oleh kuasa besar itu dalam setiap urusan perdagangan.
"Kita setuju beli kapal terbang, gas dan mesin mereka, patuh pada peraturan digital mereka, benar mereka nikmati hasil mineral nadir bumi kita, buka pasaran kita ikut syarat mereka dan patuh pada syarat mereka tentang dengan siapa kita boleh atau tidak boleh berniaga," ujarnya lagi.
Menurutnya, semua itu dilakukan hanya kerana mahu mendapatkan sedikit pelepasan tarif, sekali gus turut mempersoalkan keberkesanan 'exit clause' dalam perjanjian berkenaan.
"Benar ada exit clause, tapi dari awal lagi terdapat syarat yang jelas menjerut kemerdekaan Malaysia, kenapa mesti kita setuju perjanjian itu?," soalnya bekas Ahli Parlimen Langkawi itu.
Beliau turut meragui sama ada AS akan mudah bersetuju jika Malaysia ingin membatalkan perjanjian tersebut pada masa hadapan.
"Jika kerajaan gunakan 'exit clause' untuk lepaskan diri dari perjanjian berat sebelah, jelas bahawa kerajaan ini tidak tahu bagaimana untuk berunding dengan baik sejak awal lagi," katanya.
Beliau menyifatkan keadaan itu sebagai bentuk penjajahan baharu atau neokolonialisme yang telah lama diingatkan oleh pemimpin-pemimpin serantau sejak zaman awal kemerdekaan.
"Berhentilah guna istilah perdagangan dan kerjasama, atau berdiplomasi, akuilah yang anda telah perdagangkan kemerdekaan negara kita kerana anda tidak berani dan terlalu ingin senangkan hati kuasa asing.
"Kuasa itu pula adalah pihak yang menyokong dan melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin," menurut Dr Mahathir lagi.