Gerakan gesa kerajaan tegas pertahan autonomi dalam perjanjian dagangan AS

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menggesa kerajaan agar mempertahankan kedaulatan dan autonomi negara dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (Reciprocal Trade Agreement) antara Malaysia dan Amerika Syarikat.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, walaupun Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memberikan pelbagai penjelasan, hakikatnya Malaysia telah membuat banyak kompromi dalam pelbagai bidang.

“Malaysia boleh menyesuaikan dasar luar mengikut keadaan semasa, namun kerajaan mesti berpegang teguh kepada kedaulatan negara. Tindakan kerajaan kini seolah-olah mahu ‘mengorbankan’ syarikat berkaitan kerajaan (GLC) demi memuaskan pihak tertentu,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau mempersoalkan sama ada Malaysia Aviation Group (MAG), Khazanah Nasional, Petronas, Telekom Malaysia, Tenaga Nasional (TNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) benar-benar tiada kaitan dengan kerajaan atau rakyat.

Dominic turut mengkritik kenyataan Tengku Zafrul bahawa komitmen pembelian bernilai RM1 trilion oleh Malaysia kepada Amerika Syarikat tidak melibatkan dana kerajaan, dengan menyifatkannya sebagai pembohongan dan cubaan menutup kebenaran.

“Realitinya, sukar membayangkan syarikat swasta mampu ‘menyumbang’ jumlah dana sebesar itu setiap tahun,” katanya.

Beliau turut menegaskan kerajaan perlu menjelaskan dengan telus perjanjian yang menetapkan Malaysia melabur AS$7 bilion (RM29.4 bilion) setiap tahun di Amerika Syarikat selama 10 tahun, berjumlah keseluruhan AS$70 bilion (RM294 bilion).

“Dari mana datangnya dana ini? Selain GLC, syarikat swasta manakah yang terlibat?” soal beliau.

Dominic menegaskan Malaysia Airlines dimiliki sepenuhnya oleh Khazanah Nasional yang juga milik kerajaan, justeru setiap perbelanjaannya berkait langsung dengan rakyat.

“Jika pembelian 30 pesawat Boeing bukan dari dana kerajaan atau rakyat, dari mana pula sumbernya?” soalnya.

Beliau turut memberi contoh pembelian gas asli bernilai AS$3.4 bilion (RM14.4 bilion) setiap tahun oleh Petronas dan produk Amerika bernilai AS$119 juta (RM500 juta) oleh Telekom Malaysia sebagai bukti penglibatan GLC.

“Walaupun wang itu tidak dikeluarkan terus daripada perbendaharaan negara, ia tetap melibatkan entiti milik kerajaan. Kami boleh menerima penjelasan munasabah, tetapi bukan alasan seperti yang diberi Tengku Zafrul,” tegasnya.