PRN Sabah: STAR, SAPP keluar bukan halangan GRS terus dominan -Joniston

TUARAN - Parti Bersatu Sabah (PBS) yakin mampu memainkan peranan penting untuk memastikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus kekal kukuh dan dominan meskipun berdepan situasi sukar apabila dua rakan komponennya iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) bertindak meninggalkan gabungan tersebut.

Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai berkata, mereka tidak gentar dengan perkembangan itu kerana PBS sudah melalui pelbagai cabaran politik yang lebih mencabar sebelum ini.

"Ini adalah demokrasi, namun pada masa yang sama, kestabilan dan perpaduan tidak boleh diketepikan dan di sinilah PBS terus memainkan peranannya," katanya ketika menghadiri program bertemu rakyat di Kampung Rungus Panansawa, Kiulu di sini pada Khamis.

Joniston yang juga Ketua Penerangan GRS berkata, kekuatan PBS dalam GRS terbina daripada prinsip kepimpinan berakar umbi dan pengalamannya mengurus perubahan landskap politik di Sabah.

"Kita telah melalui pelbagai fasa perubahan, namun prinsip kita tetap sama iaitu berkhidmat dengan penuh dedikasi dan mengutamakan rakyat.

"PBS sentiasa menjadi penyumbang kepada kestabilan dalam GRS bagi memastikan gabungan ini mampu memenuhi harapan rakyat Sabah,” katanya.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu itu turut menegaskan bahawa PBS terus memainkan peranan penting bagi memastikan GRS kekal padu dan berwibawa, dengan dasar yang realistik serta berfokus kepada kepentingan rakyat.

PBS merupakan salah satu daripada enam komponen dalam GRS bersama iaitu Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Demokratik Liberal (LDP), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) dan Parti Cinta Sabah (PCS).

Sementara itu, dalam program yang dihadirinya, Joniston turut melawat Kampung Balabakan bagi merasmikan pembukaan jalan pertanian baharu di kampung berkenaan.

Beliau berkata, sektor pertanian kekal sebagai antara fokus utama pelan pembangunan berterusan di Kiulu khususnya bagi mempertingkat infrastruktur dan taraf hidup penduduk.