UMNO tidak halang ahli jumpa individu dikenakan tindakan disiplin

SHAH ALAM – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki seolah-olah menyindir Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) apabila menegaskan bahawa parti itu tidak melarang mana-mana ahlinya untuk berhubung dengan sesiapa termasuk mereka yang telah dijatuhkan hukuman disiplin mahupun yang berbeza parti.

Beliau menegaskan bahawa perbezaan ideologi politik tidak seharusnya menjadi alasan untuk memutuskan hubungan silaturahim antara sesama mereka.

“UMNO tidak melarang mana-mana ahli untuk berhubung dengan sesiapa, termasuk mereka yang dijatuhkan hukuman disiplin mahupun yang berbeza parti.

“Berbeza ideologi politik jangan sampai putus hubungan silaturahim,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Isnin.

Kenyataan itu dipercayai sebagai respons kepada tindakan Bersatu yang melarang ahlinya daripada berhubung dengan individu yang sedang berdepan tindakan disiplin.

Pada Jumaat, pemimpin dan ahli Bersatu telah diingatkan agar tidak terlibat dalam sebarang bentuk penganjuran, perjumpaan atau perbincangan dengan mana-mana pihak yang telah dijatuhkan hukuman oleh Lembaga Disiplin parti itu.

Perkara tersebut dinyatakan menerusi arahan dalaman yang dilihat oleh Sinar Harian menerusi surat pekeliling Setiausaha Agung Bilangan 3 Tahun 2025 yang ditandatangani oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Sabtu.

Menurut surat itu, setiap ahli mempunyai tanggungjawab untuk mendukung matlamat dan tujuan parti, selain melaksanakan dasar-dasar parti selaras dengan Fasal 9.1 Perlembagaan Bersatu. Fasal 9.1.4 turut menegaskan pematuhan terhadap Perlembagaan Parti serta Peraturan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.