Hubungan Malaysia, kuasa besar perlu bawa manfaat kepada rakyat - Takiyuddin

SHAH ALAM - Hubungan Malaysia dengan kuasa besar dunia perlu membawa manfaat nyata kepada rakyat dan negara melalui perdagangan, pelaburan dan pindahan teknologi dengan mengekalkan aspek ketelusan, maruah serta kepentingan kebangsaan.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sebarang rundingan atau perjanjian perdagangan antara Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) hendaklah didasarkan pada prinsip-prinsip keadilan dan saling menghormati.

“Hubungan dua hala mana-mana negara hendaklah berpandukan asas ini dan manfaat ekonomi setara antara kedua-duanya, bukannya dominasi ekonomi sebelah pihak.

“Hubungan Malaysia dengan kuasa besar dunia mestilah menatijahkan manfaat nyata kepada rakyat dan negara melalui perdagangan, pelaburan, pindahan teknologi dan lain-lain dengan mengekalkan aspek ketelusan, maruah serta kepentingan kebangsaan,” katanya menerusi di Facebook pada Ahad.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 menghimpunkan pemimpin tertinggi dari 10 negara anggota serta rakan dialog termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun dan India, sekali gus menekankan peranan ASEAN sebagai platform utama untuk dialog dan kerjasama dalam suasana dinamik global yang semakin berubah.

Ujar Takiyuddin, negara perlu menjadi suara yang berperanan penting dalam memelihara keadilan umat Islam seluruh dunia.

“Malaysia juga perlu berdiri dan diterima di pentas dunia sebagai sebuah negara yang berkembang, kompetitif, demokratik dan bermaruah tetapi sebagai suara moral dunia Islam serta negara Selatan yang tegas mempertahankan kedaulatan, keadilan, hak asasi manusia dan kemerdekaan semua,” ujarnya.

Menurut beliau, Pas menggesa kerajaan supaya terus menjadikan tragedi kemanusiaan yang berlaku di Palestin sebagai agenda penting negara dalam perbincangan dengan AS, sekali gus menegaskan pendirian konsisten negara menolak dalam segala perbuatan pencerobohan dan kezaliman.

“Gaya dan nada sambutan yang berlebih-lebihan di pihak kita ketika ketibaan Presiden AS itu hari ini (Ahad) seolah-olah mencurah garam di luka penduduk Gaza yang masih berdarah selain mencabar sensitiviti dunia bebas terhadap bencana kemanusiaan yang berlaku.

“Ia tidak sewajarnya menjadi citra pendekatan negara dalam interaksi seterusnya dengan beliau,” menurutnya.