SHAH ALAM – Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman menyarankan agar kekayaan dan manfaat ekonomi ASEAN dikongsi secara seimbang demi kebaikan bersama seluruh komuniti serantau.
Menurutnya, kekayaan dan peluang pelaburan di rantau ASEAN perlu dikembangkan bersama agar manfaatnya tidak hanya tertumpu kepada negara tertentu.
“Dengan populasi lebih 700 juta, biarlah kekayaan ASEAN sama-sama dikembangkan, sama-sama dikongsikan, supaya ‘kenduri’ besar di Kuala Lumpur membawa limpahan kebaikan kepada seluruh komuniti ASEAN.
“Di penghujung Sidang ASEAN, kita nilaikan bersama, berapa jumlah perdagangan dan pelaburan masuk dan sesama ASEAN berbanding jumlah perdagangan dan pelaburan keluar ASEAN,” katanya menerusi satu hantaran pada Isnin.
Beliau turut memberi peringatan agar keseimbangan dalam hubungan perdagangan serantau diberi perhatian serius.
“Kita ‘undang’ tetamu dengan harapan tetamu beli produk kita, melabur di tempat kita. Sebaliknya, kita beli produk mereka, melabur di tempat mereka, jual mineral kepada mereka. Untungnya siapa?” soalnya lagi.