Sambutan kedatangan Trump tidak perlu meriah - Muhyiddin

SHAH ALAM – Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan sambutan penuh kemeriahan terhadap Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, semasa ketibaannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai tidak wajar.

Ahli Parlimen Pagoh itu berpendapat bahawa kerajaan sepatutnya lebih berhati-hati dalam memberikan layanan diplomatik terutamanya terhadap pemimpin yang dikaitkan dengan sokongan terhadap kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin.

“Saya memandang serius sambutan keterlaluan yang diberikan oleh Perdana Menteri ke atas Trump sewaktu ketibaannya di KLIA semalam. Sambutan penuh keceriaan dan simbolik berlebihan itu menimbulkan persoalan besar – apakah Malaysia kini menilai maruah diplomatik berdasarkan status tetamu bukan prinsip kemanusiaan?” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

"Trump tidak perlu diberikan sambutan meriah tatkala rakyat Palestin bermandi darah dan mati kebuluran di Gaza.

“Ia memberi gambaran seolah-olah Malaysia begitu teruja meraikan kedatangan individu yang terlibat menyokong jenayah genosid terhadap rakyat Palestin,” ujarnya.

Bekas Perdana Menteri itu menambah, Trump merupakan simbol keangkuhan dasar luar Amerika Syarikat yang selama ini melindungi kekejaman Israel, justeru rakyat berhak mempersoalkan pendekatan diplomasi kerajaan terhadap beliau.

“Menyambut tokoh seperti ini dengan keghairahan melampau adalah sangat tidak wajar,” tegasnya.