Jeffrey tidak terkejut keputusan 5 pemimpin STAR kekal bersama GRS

KOTA KINABALU – Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, beliau tidak terkejut dengan keputusan lima pemimpin parti itu yang memilih untuk kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Menurutnya, keputusan tersebut adalah hak individu yang perlu dihormati, namun beliau menegaskan perjuangannya untuk Sabah akan diteruskan seperti biasa.

“Saya menghormati keputusan lima pemimpin STAR yang telah memilih untuk kekal bersama GRS. Setiap individu mesti bertindak mengikut hati nurani masing-masing. Saya telah melihat perkara seperti ini sebelum ini dan saya tidak terkejut,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Jeffrey yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan berkata, perjuangan politiknya tidak pernah bersandar pada kedudukan atau keselesaan, sebaliknya berpaksikan maruah dan keadilan untuk rakyat Sabah.

“Dalam hidup saya, saya sering berjalan seorang diri. Tiada yang baharu tentang ini. Apa yang penting bukanlah berapa ramai yang berjalan di sisi saya, tetapi sama ada jalan itu betul, dan saya kekal di jalan itu.

“Sesetengah orang mungkin memilih jalan yang lebih mudah, tetapi saya akan terus berada di jalan yang membawa kepada keadilan untuk Sabah,” katanya.

Jeffrey menegaskan misinya kekal sama, iaitu untuk berdiri teguh memperjuangkan hak dan masa depan rakyat Sabah.

“Mereka yang memilih arah lain tetap menjadi rakan saya, dan saya mendoakan yang terbaik untuk mereka. Walau bagaimanapun, tugas saya jelas perjuangan diteruskan dan akhirnya rakyatlah yang akan memutuskan,” katanya.

Beliau turut menyifatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang sebagai satu referendum penting bagi menentukan hala tuju Sabah.

“PRN ini akan menjadi referendum untuk Sabah sama ada kita kekal tunduk kepada Malaya (Semenanjung) atau berdiri bebas dan merdeka,” tegasnya.

Sebelum itu, empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilihat hadir pada majlis pertemuan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bersama Ahli Yang Berhormat kerajaan serta sidang akhbar pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, pada Isnin.

Mereka yang hadir ialah Timbalan Presiden STAR, Datuk Ellron Angin yang juga ADUN Sook; Datuk Abidin Madingkir (Paginatan); Datuk Annuar Ayub (Liawan); dan Flovia Ng (Tulid).

Sementara itu, seorang lagi Timbalan Presiden STAR yang juga ADUN Bingkor, Datuk Robert Tawik, walaupun tidak hadir pada majlis tersebut, dikatakan turut mengambil langkah sama untuk kekal menyokong GRS.