PRN Sabah: PKR akan tampilkan calon berkualiti, berintegriti - Mustapha

KOTA KINABALU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menampilkan calon-calon berkualiti dan berintegriti bagi mewakili rakyat Sabah pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, langkah itu penting bagi memastikan suara rakyat Sabah terus dibela di Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Alhamdulillah, hari ini Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah secara rasmi dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17). Saya mewakili seluruh kepimpinan PKR Sabah ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakyat Sabah atas kepercayaan dan sokongan padu yang telah diberikan dalam PRN yang lalu, khususnya di DUN Inanam dan Api-Api.

“Perjuangan PKR untuk mentadbir Sabah dengan integriti, ketelusan dan tadbir urus yang baik akan diteruskan berlandaskan semangat reformasi yang menjadi teras perjuangan parti sejak awal penubuhan, bersama PKR di seluruh negara, Insya-Allah.

“PKR Sabah melalui Pakatan Harapan (PH) akan menampilkan calon-calon berkualiti dan berintegriti untuk rakyat Sabah pilih mewakili mereka di Dewan Undangan Negeri dalam PRN17 kali ini,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, kestabilan politik Sabah menjadi faktor utama dalam menyelesaikan pelbagai isu yang dihadapi rakyat di negeri ini.

“Kestabilan politik Sabah adalah kunci utama bagi menyelesaikan isu rakyat. Isu bekalan air bersih, ketersambungan jalan raya, bekalan elektrik yang stabil, peluang pekerjaan dan perjuangan menegakkan hak Sabah dalam kerangka Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) hanya dapat diselesaikan jika kita berjaya mengekalkan kestabilan politik,” katanya.

Menurut Mustapha, PKR menerusi PH akan terus memperkukuh kerjasama politik berteraskan semangat perpaduan seperti diamalkan di peringkat Persekutuan.

“Atas dasar itu, PKR dalam PH akan terus memperkukuh kerjasama politik berdasarkan model Perpaduan di peringkat Persekutuan sebagai asas menghadapi PRN Sabah.

“Bagaimanapun, kami dengan tegas menolak retorik, agenda perpecahan dan adu domba yang dibawa oleh sesetengah parti di Sabah,” tegasnya.

Tambah beliau, PRN kali ini bukan soal kepentingan parti, sebaliknya menentukan masa depan rakyat Sabah.

“Akhir sekali, saya ingin menegaskan bahawa PRN kali ini bukanlah untuk kepentingan mana-mana parti politik.

“Ia adalah tentang masa depan rakyat Sabah. Yang lebih utama adalah untuk memastikan rakyat Sabah dapat menikmati pentadbiran yang efisien dan efektif sebagaimana yang dibawakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim di peringkat Persekutuan.

“Matlamat kami hanya satu, iaitu untuk memastikan rakyat Sabah menikmati kehidupan berkualiti dan sejahtera di rumah kita sendiri,” katanya.