Kemelut Bersatu: 'Macam bola sepak, yang bising-bising itu penyokong'

KOTA BHARU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan mengakui kemelut dalaman yang tercetus di peringkat Pusat boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap parti itu sekiranya tidak ditangani dengan betul.

Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, sebarang pertikaian dalam kalangan pimpinan berisiko memberi kesan kepada imej parti.

“Kalau berterusan, boleh menjejaskan keyakinan rakyat.

“Itu yang sedang diuruskan supaya perkara ini tidak melarat dan menjejaskan imej,” katanya ketika ditemui selepas Perasmian Buffet Bekwoh 2.0 Hotel Holiday Villa di sini pada Isnin.

Sebelum ini, media melaporkan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan membuat pendedahan mendakwa Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengugut beberapa Ketua Bahagian supaya menarik balik akuan bersumpah yang dikatakan bertujuan menjatuhkan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dakwaan itu seterusnya mencetuskan spekulasi berlakunya pertelagahan dalaman parti.

Wan Saiful sekali lagi membuat kenyataan mendakwa video intim yang tular dahulu dan didakwa membabitkan Mohamed Azmin di Sandakan, Sabah itu adalah tulen.

Kamarudin bagaimanapun menegaskan kepimpinan parti sedang mengambil langkah memastikan perkara yang berlaku tidak menjejaskan tumpuan terhadap agenda perjuangan.

Menurut beliau, perkara yang berlaku juga tidak ada kena-mengena dengan Muhyiddin atau timbalannya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

"Macam bola sepak, yang bising-bising tu penyokong tetapi keadaan sebenar tidak begitu serius atau tidaklah sampai retak menanti belah.

“Namun agenda peribadi tu ada, tak boleh lari dalam politik," ujarnya.

Kamarudin turut yakin perkara berkenaan berlaku sementara sahaja dan akan reda tidak lama lagi.

“Pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah berlaku, semua tumpuan akan beralih ke sana dan orang pun akan lupakan perkara ini,” katanya.