PRN Sabah: Empat ADUN STAR sokong GRS

KOTA KINABALU - Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanahairku (STAR), Datuk Ellron Angin bersama tiga lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu sahkan terus memberi sokongan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Pengesahan itu dinyatakan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor selepas Presiden STAR, Datuk Seri Jeffrey Kitingan memutuskan untuk keluar daripada gabungan itu minggu lalu.

"Mereka telah memaklumkan kepada saya mereka menyokong GRS," katanya pada siding media khas di Menara Kinabalu pada Isnin.

Selain Ellron, tiga lagi ADUN STAR iaitu Datuk Abidin Madingkir (Paginatan); Datuk Robert Tawik (Bingkor); Datuk Annuar Ayub (Liawan) dan ADUN Tulid, Flovia Ng.

Dalam sidang media sama, Hajiji menegaskan dengan pendirian meninggalkan gabungan itu, keahlian STAR dan Parti Maju Sabah (SAPP) dalam GRS terbatal secara automatik.

Beliau menegaskan, Majlis Presiden GRS telah setuju bahawa semua parti komponen gabungan itu perlu bertanding atas logo GRS.

"Bagaimanapun, ini tidak terguna pakai kepada Pakatan Harapan," katanya.

Ditanya sama ada kemungkinan GRS terutama parti komponennya Parti Bersatu Sabah (PBS) akan berdepan calon-calon daripada STAR dan SAPP, Hajiji yakin mampu menandingi mereka.

Ditanya juga sama ada GRS akan bekerjasama dengan STAR selepas PRN 17, Hajiji berkata "itu tidak timbullah". - Awani