KOTA KINABALU - Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Seri Ronald Kiandee menyatakan kesediaan bahawa mereka sudah bersedia sepenuhnya untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Katanya, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah telah lama dinantikan oleh rakyat Sabah kerana ia akan membuka ruang kepada rakyat untuk menentukan semula hala tuju negeri yang baharu.
"PN yakin rakyat Sabah sudah cukup matang dan bersedia untuk melakukan perubahan demi masa depan yang lebih baik dengan memilih kerajaan negeri baharu.
"Inilah masanya untuk rakyat Sabah bangkit bersama PN demi membina sebuah negeri yang stabil, cekap lagi bermaruah," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Sebelum itu, Ketua Menteri yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengumumkan pembubaran DUN Sabah berkuatkuasa Isnin bagi memberi laluan PRN17 diadakan.
Pengumuman itu dibuat di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, di sini, ketika majlis pertemuan dengan Ahli-Ahli Yang Berhormat Kerajaan.
tamat