SHAH ALAM – Pas mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mengambil tindakan tegas memecat Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing serta-merta bagi memulihkan keyakinan rakyat dan menjaga kehormatan Islam sebagai agama rasmi negara.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ini kerana ia bukan kali pertama menteri berkenaan gagal menjaga sensitiviti umat Islam.
Menurutnya, alasan yang diberikan bahawa majlis tersebut adalah 'inisiatif pihak industri dan swasta' juga adalah tidak masuk akal.
“Apabila sesuatu majlis telah dimuat naik dalam laman sesawang rasmi Tourism Malaysia dan dijadualkan sebagai sebahagian daripada program rasmi, maka kerajaan menerusi Tourism Malaysia bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kandungan majlis tersebut.
“Hidangan arak dalam majlis rasmi kerajaan bukan sahaja melanggar Pekeliling Perbendaharaan mengenai ‘Peraturan Mengenai Keraian Rasmi’ yang jelas melarang penyediaan arak, malah bercanggah dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Bagaimana majlis kerajaan boleh menghidangkan minuman yang jelas haram dalam Islam?” ujarnya.
Sebelum ini, Tiong King Sing menegaskan bahawa Tourism Malaysia hanya bertanggungjawab menganjurkan acara Global Travel Meet selama dua hari setengah yang berjaya menjana impak ekonomi bernilai RM420 juta.
Jelasnya, acara makan malam yang menjadi isu kepada Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebenarnya merupakan inisiatif pihak industri dan sektor swasta.
Menurut beliau, memandangkan Tourism Malaysia buat julung kalinya menganjurkan acara global sedemikian, pihak industri dan sektor swasta teruja untuk menaja serta meraikan rakan-rakan industri antarabangsa melalui majlis makan malam tersebut.
Tambah Ahmad Fadhli, perkara itu bukan sahaja memalukan malah mengguris sensitiviti umat Islam di negara ini.
“Tatkala seluruh negara sedang memberikan tumpuan kepada keselamatan sukarelawan Global Sumud Flotilla, ada pihak dalam Kerajaan Madani memilih untuk merobek sensitiviti umat Islam.
“Pas memandang serius pendedahan bahawa minuman beralkohol telah dihidangkan dalam majlis makan malam sempena acara Global Travel Meet yang tersenarai dalam itinerari rasmi program Tourism Malaysia.
“Mufti Wilayah Persekutuan juga telah menjelaskan dalam Irsyad Hukum Siri ke-224 bahawa haram bagi orang Islam duduk dalam majlis yang dihidangkan arak padanya,” jelasnya.