KUALA TERENGGANU - Hubungan antara parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) kekal utuh dan dijangka terus diperkukuh sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebarang perbezaan pandangan antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dianggap perkara biasa dalam gabungan politik tersebut.
Menurutnya, semua isu yang timbul sebelum ini termasuk berkaitan calon perdana menteri dan dana pilihan raya akan diselesaikan melalui perbincangan berhemah.
Beliau berkata, perbezaan pandangan dalam kalangan parti komponen yang berlaku sebelum ini merupakan perbincangan dalaman bagi memperkukuhkan lagi gabungan berkenaan.
“Saya yakin 100 peratus PN akan terus diperkukuh. Apa jua yang timbul itu hanyalah perbincangan keluarga bagi memperkuatkan persediaan gabungan sebelum kita berdepan pilihan raya yang mungkin diadakan dalam tempoh setahun atau dua tahun lagi.
“Lebih baik perkara ini dibincangkan sekarang walaupun nampak seperti ada perbezaan, sebenarnya ia semua dalam ruang memperkukuhkan PN. Jadi saya tidak ada kebimbangan tentang hal itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan beberapa pihak berhubung polemik antara Pas dan Bersatu susulan pendedahan bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad, yang mendakwa semua kos kempen PN ketika PRU15 ditanggung sepenuhnya oleh Bersatu.
Sebelum ini, media melaporkan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu turut meluluskan usul mencalonkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-11 mewakili parti itu, antara tiga usul utama yang dipersetujui dalam perhimpunan berkenaan.
Ahmad Samsuri berkata, Pas kekal komited dengan semangat setiakawan dalam PN bagi memastikan kerjasama politik itu memberi manfaat kepada rakyat.
Katanya, ketika ini PN memberi tumpuan kepada perbincangan strategik awal bagi memastikan kesiapsiagaan menghadapi PRU16.
“Kita hormati keputusan rakan komponen, dan tumpuan utama kini adalah memastikan PN terus menjadi pilihan rakyat pada pilihan raya akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Pas bersama PN telah memulakan siri jelajah di Sabah bagi menilai kekuatan gabungan serta menentukan kerusi yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.
“Kita tahu politik di Sabah sangat dinamik. Ada juga berlaku walaupun sudah dekat pilihan raya, ada parti baharu yang muncul.
“Jadi Pas dan PN tetap komited untuk bertanding serta membentuk kerjasama politik bersama parti-parti yang menang selepas PRN nanti,” katanya.