Dewan Ulama Pas kecam hidangan arak pada majlis rasmi MOTAC

ALOR SETAR – Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP) mengecam tindakan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang menyediakan hidangan minuman beralkohol dalam satu majlis rasmi kementerian berkenaan baru-baru ini.

Ketua DUPP, Datuk Ahmad Yahaya berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku dalam mana-mana acara rasmi kerajaan kerana bertentangan dengan nilai budaya ketimuran dan sensitiviti rakyat Malaysia yang berbilang agama.

Menurut beliau, hidangan arak juga tidak wajar dijadikan sebahagian daripada promosi acara rasmi kerajaan, khususnya berkaitan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).

“DUPP ingin mengingatkan Menteri MOTAC bahawa hidangan minuman beralkohol seperti itu tidak patut ada dalam mana-mana acara rasmi kerana ia bercanggah dengan budaya ketimuran yang dipegang oleh Malaysia.

“Bahkan, ia juga bukan sesuatu yang perlu dipromosi mewakili budaya rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Ahmad, yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, hidangan arak dalam majlis rasmi kerajaan boleh memberi gambaran salah kepada dunia tentang identiti Malaysia sebagai sebuah negara berteraskan agama Islam.

“Adakah minuman arak menjadi sebahagian daripada tarikan promosi TMM 2026 seperti yang dirancang pihak kementerian?” soalnya.

Kejadian itu difahamkan berlaku ketika program Global Travel Meet 2025 anjuran MOTAC yang dilihat menyediakan hidangan arak kepada tetamu dalam majlis rasmi yang diadakan bagi mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026.

DUPP turut menyatakan rasa kesal terhadap tindakan MOTAC menjalin kerjasama secara terbuka dengan Starbucks Malaysia, sebuah jenama antarabangsa yang menjadi tumpuan kempen boikot global kerana dikaitkan dengan sokongan terhadap rejim Zionis Israel.

“Langkah kementerian itu amat tidak wajar ketika rakyat Malaysia sedang memperhebatkan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin dan menyokong misi kemanusiaan seperti Global Sumud Flotilla.

“Ketika rakyat Malaysia memfokuskan solidariti terhadap umat Islam Palestin, tiba-tiba sebuah kementerian di Malaysia secara terbuka mendukung kembali syarikat yang diboikot oleh rakyat dalam negara ini.

“Adakah ia usaha membela taikun besar yang mengalami kemerosotan perniagaan disebabkan boikot rakyat Malaysia terhadap Starbucks khasnya dan rejim Zionis amnya?” soalnya.

Ahmad menegaskan, tindakan tersebut menimbulkan persepsi bercanggah terhadap imej Kerajaan Madani yang sebelum ini sering menzahirkan pendirian menyokong perjuangan Palestin di pentas antarabangsa.

“Adakah ini wajah sebenar yang ditampilkan oleh Kerajaan Madani? Satu sisi kerajaan kelihatan lantang bersama rakyat dalam isu Palestin, sisi lain pula mereka turut mendukung produk yang menzalimi umat Islam di sana tanpa henti.

“Di mana mereka letak maruah pejuang umat Islam di Malaysia dalam isu Palestin?” katanya lagi.

Sebelum ini, Menteri MOTAC, Datuk Seri Tiong King Sing menegaskan Tourism Malaysia hanya bertanggungjawab menganjurkan acara Global Travel Meet selama dua hari setengah yang berjaya menjana impak ekonomi bernilai RM420 juta.

Jelasnya, acara makan malam yang menjadi isu itu sebenarnya merupakan inisiatif pihak industri dan sektor swasta yang ingin meraikan rakan-rakan industri antarabangsa.