DAP akan bantu kemenangan BN di Perak pada PRU16

IPOH – DAP Perak bersedia membantu calon Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti, selain memastikan calon rakan-rakan dalam Pakatan Harapan (PH) turut meraih kemenangan.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, keputusan UMNO untuk mengekalkan kerjasama dengan PH di negeri itu merupakan petanda baik terhadap kekuatan Kerajaan Perpaduan menjelang pilihan raya akan datang.

Menurutnya, apabila BN dan PH bergabung di Perak, mereka bukan sahaja mampu mentadbir negeri ini dengan baik, malah yakin boleh menang dengan majoriti dua pertiga.

“Saya amat bersyukur apabila dimaklumkan oleh Datuk Sham Mat Sahat (Bendahari UMNO Perak) bahawa Jawatankuasa Perhubungan UMNO Perak sebulat suara bersetuju untuk bekerjasama dengan PH pada PRU16.

“Sebab itu seluruh jentera DAP wajib bertungkus-lumus merapatkan saf dan bekerja sebagai satu pasukan bagi memastikan bukan sahaja calon PH menang, tetapi calon BN juga berjaya di bumi bertuah ini,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Tahunan DAP Perak kali ke-23 di sebuah hotel di sini pada Ahad.

Konvensyen tersebut dirasmikan oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

Kor Ming berkata, semua jentera DAP diingatkan supaya terus bekerja keras dan memperkukuh kesepakatan parti bagi memastikan kemenangan calon Kerajaan Perpaduan.

Menurutnya, seluruh jentera parti perlu membuat persiapan rapi bagi menghadapi PRU16.

“Persiapan itu sebenarnya sudah bermula sejak hari kita mengangkat sumpah. Sebab itu, semua ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perak wajib turun padang setiap minggu.

“Bukan sahaja turun padang, tetapi sentiasa berada di padang,” katanya yang juga Naib Pengerusi DAP Kebangsaan.

Beliau turut meminta seluruh jentera PH-BN di Perak memastikan ‘gelombang hijau’ yang dibawa Pas tidak terus berkembang di negeri ini.

“Kita lihat negeri yang ditadbir Pas seperti Kelantan dan Terengganu masih ketinggalan dari segi ekonomi, kadar kemiskinan dan pengangguran yang tinggi.

“Oleh itu, tanggungjawab kita ialah memastikan gelombang hijau tidak subur di Perak. Kita mesti pastikan calon Kerajaan Perpaduan menang semula di kawasan Parlimen di daerah Kerian, Parit Buntar, Alor Pongsu dan seluruh utara Perak,” katanya.