JOHOR BAHRU – UMNO menolak sekeras-kerasnya tindakan menghidangkan minuman beralkohol pada majlis makan malam anjuran Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) yang dianggap tidak wajar serta bercanggah dengan kedudukan Malaysia sebagai negara Islam.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun kerajaan menghormati agama dan budaya masyarakat berbilang kaum, penganjuran acara rasmi kerajaan perlu mengambil kira sensitiviti umat Islam selaras kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Tentunya kita harus menolak dan kita mesti tidak bersetuju dengan program berkenaan. Malaysia adalah negara Islam, biarpun kita menghormati agama, budaya dan kelaziman lain-lain agama. Tetapi ini merupakan acara kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Skuad Yayasan Pelajaran MARA (YPM) peringkat negeri Johor di Arena Larkin, pada Ahad.
Timbalan Perdana Menteri itu menegaskan, perkara tersebut juga akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri bagi menyatakan pendirian UMNO terhadap cadangan berkenaan.
“Sebagai Presiden UMNO, kita menolak 100 peratus cadangan itu. Acara seperti ini tidak pernah diadakan dalam mana-mana program rasmi kerajaan sebelum ini dan ia perlu ditolak,” tegasnya.
Pada Sabtu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menegaskan Tourism Malaysia hanya bertanggungjawab menganjurkan acara Global Travel Meet selama dua hari setengah, yang berjaya menjana impak ekonomi bernilai RM420 juta.
Jelasnya, acara makan malam yang dijadikan isu oleh Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebenarnya merupakan inisiatif pihak industri dan sektor swasta.
Beliau berkata, memandangkan Tourism Malaysia buat julung kalinya menganjurkan acara global sedemikian, pihak industri dan sektor swasta teruja sehingga berhasrat untuk menaja serta meraikan rakan-rakan industri antarabangsa melalui majlis makan malam itu.