PH tak akan kacau kerusi BN di Sabah - Anthony

IPOH – Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sepakat untuk mengelak pertembungan antara satu sama lain dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, gabungan PH-BN akan menggunakan formula kerusi penyandang dikekalkan untuk ditandingi parti yang menang dalam menentukan pembahagian kerusi bagi PRN berkenaan.

Menurutnya, prinsip tersebut telah dipersetujui bersama antara kedua-dua gabungan bagi memastikan kerjasama yang terjalin dapat dikekalkan dan diperkukuh untuk jangka panjang.

“Ini satu prinsip asas yang dicapai antara PH dan BN, iaitu perlu mengikut incumbent. Jika mana-mana kerusi dimenangi oleh pihak mereka, sudah tentu Pakatan Harapan perlu menghormati bahawa kerusi itu akan ditandingi semula oleh rakan kita.

“Begitu juga sebaliknya, jika kerusi itu milik PH, BN perlu menghormatinya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Perak kali ke-23 di sebuah hotel di sini pada Ahad.

Hadir sama, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming.

Anthony berkata, pendekatan itu wajar diteruskan di Sabah bagi memastikan rundingan pembahagian kerusi antara kedua-dua gabungan dapat dilakukan dengan lancar dan harmoni.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan DAP tidak gusar berdepan isu pengkhianatan calon seperti yang pernah berlaku dalam PRN Sabah sebelum ini.

Jelasnya, ia berikutan sudah ada peruntukan tegas dalam perlembagaan parti serta kewujudan Akta Anti Lompat Parti.

“Dalam parti kita memang ada klausa bahawa jika seseorang menang atas tiket parti dan kemudian melompat ke parti lain, mereka hilang kelayakan sebagai ahli.

“Apabila hilang kelayakan sebagai ahli, mereka juga hilang kerusi kerana terikat dengan Akta Anti Lompat Parti di negeri berkenaan,” jelasnya.

Beliau menambah, DAP yakin dengan komitmen serta kesetiaan pemimpin pelapis di Sabah untuk terus memperkukuh kedudukan parti dan gabungan PH-BN di negeri itu.

Pada PRN Sabah ke-16, DAP bertanding di tujuh kerusi dan memenangi enam kerusi iaitu Luyang, Likas, Kapayan, Sri Tanjong, Elopura dan Tanjong Papat.

Bagaimanapun, dua bekas wakil rakyatnya dari Elopura dan Sri Tanjong menyertai Parti Warisan pada tahun 2022.