STAR, SAPP keluar GRS beri kelebihan kepada BN-PH - Ahmad Maslan

PONTIAN – Kedudukan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilihat semakin goyah susulan keputusan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) keluar daripada gabungan berkenaan.

Ketua Sekretariat War Room UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tindakan kedua-dua parti itu memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam landskap politik negeri menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.

“Situasi terbaharu ini memberi kelebihan kepada BN yang disifatkan telah bersiap sedia lebih awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk PRN Sabah dalam masa terdekat.

“Dengan perkembangan mutakhir ini, kita melihat ada kelebihan kepada kita. Jentera UMNO telah bersedia dari awal, bukan pada saat-saat akhir,” katanya.

Ahli Parlimen Pontian itu ditemui selepas merasmikan Kejohanan Catur Peringkat Kebangsaan Interstates di Dewan Muafakat Taman Saujana, pada Ahad.

Pada Khamis, STAR dan SAPP memutuskan untuk keluar daripada GRS dan akan bertanding secara solo dalam PRN17.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Presiden GRS yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang berlangsung di Sri Gaya pada Rabu.

Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, mesyuarat selama dua jam itu turut dihadiri semua presiden parti komponen GRS.

Spekulasi mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah semakin hangat pada masa ini dengan beberapa tarikh disebut-sebut untuk pengumuman rasmi berkenaan.

Terkini, sebuah agensi media melaporkan berdasarkan sumber politik kanan negeri bahawa pengumuman pembubaran DUN Sabah dijangka dibuat pada Isnin ini, 6 Oktober.

DUN Sabah ke-16 dijadualkan terbubar secara automatik pada 11 November ini sekiranya tidak dibubarkan lebih awal, sekali gus memberi laluan bagi PRN akan datang.