PRN Sabah makin hampir - Armizan

KOTA KINABALU - Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali memberi bayangan bahawa pilihan raya negeri (PRN) sudah semakin hampir dan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pasti berlaku.

Beliau berkata, walau apapun tarikh yang tular, hakikatnya pembubaran tetap akan berlaku bagi memberi laluan kepada proses pilihan raya serta ruang kepada parti-parti politik yang sejak awal lagi sudah memulakan gerak kerja kempen masing-masing.

"Insya-ALLAH tak lama lagi, dalam tempoh terdekat ini memang akan berlaku pembubaran," katanya dalam sidang akhbar sempena Hari Bertemu Pelanggan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) RON95 peringkat Sabah dan Labuan, di sini pada Isnin.

Bagaimanapun, katanya, hanya Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang mengetahui tarikh sebenar pembubaran itu kerana beliau yang akan menghadap Yang di-Pertua Negeri Sabah untuk mendapat perkenan.

Diminta mengulas mengenai persediaan GRS menghadapi PRN memandangkan pemimpin utama parti nasional dilihat semakin kerap berada di Sabah, Armizan berkata, GRS mempunyai kelebihan kerana ia parti tempatan dan sentiasa bersama rakyat.

"Sebelum ini kita meneruskan kerja sebagai kerajaan negeri dengan memberikan khidmat kepada rakyat. Tetapi insya-ALLAH sebaik saja DUN dibubarkan dalam masa terdekat, kita akan menggerakkan seluruh jentera untuk menghadapi dan bersaing dengan lawan-lawan kita yang sudah mula lebih awal," katanya.

Menurutnya, dalam kempen PRN nanti, GRS akan menumpukan kepada dua elemen penting iaitu menjelaskan rekod pentadbiran kerajaan sepanjang lima tahun lalu serta mempersembahkan tawaran baharu untuk lima tahun akan datang.