Kepimpinan pusat akan tentukan jumlah kerusi - Mohamad Sabu

TASEK GELUGOR – Sebarang ketetapan mengenai bilangan kerusi yang akan dipertandingkan pada pilihan raya negeri (PRN) akan diputuskan oleh kepimpinan tertinggi Parti Amanah Negara (Amanah).

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, semua negeri atau sayap parti boleh membawa usul, namun keputusan muktamad mengenai jumlah kerusi hanya akan dibuat selepas perbincangan di peringkat pusat.

“Negeri, pemuda atau sayap wanita boleh mencadangkan apa sahaja yang mereka mahu.

“Itu perkara biasa dalam mana-mana parti, tetapi keputusan akhir tetap ditentukan oleh kepimpinan tertinggi di peringkat nasional,” katanya mengulas mengenai usul yang dikemukakan Amanah Johor pada Sabtu.

Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata demikian selepas merasmikan Program Pemerkasaan Sektor Pertanian Kampung Guar Petai di Dewan Penempatan Banjir Kampung Labuh Banting di sini pada Ahad.

Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan Amanah Johor mengangkat tiga usul utama dalam mesyuarat perwakilan bahagiannya termasuk cadangan berhubung pertandingan tiga penjuru, isu air serta pelantikan pengarah pilihan raya Pakatan Harapan (PH) di peringkat negeri.

Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan berkata, usul pertama menyentuh kedudukan PH di Johor yang dicadangkan untuk bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru.

“Itu hasrat perwakilan dan akar umbi dari negeri ini. Walaupun boleh dibahas dan dicadangkan, keputusan muktamad tetap ditentukan oleh Majlis Presiden.

“Barisan Nasional (BN) juga khabarnya tidak selesa kalau tiada tiga penjuru. Kalau tiga penjuru, maknanya sama-sama bertempur, sama-sama turun padang,” katanya pada sidang akhbar sempena Konvensyen Amanah Johor pada Sabtu.

Pada Jun lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga Pengerusi BN Johor menegaskan PRN Johor hanya akan diadakan selewat-lewatnya pada April 2027, sejajar dengan tamatnya penggal pentadbiran semasa.

Untuk rekod, pada PRN Johor 2022, UMNO dan Barisan Nasional (BN) memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN.

Pakatan Harapan (PH) melalui DAP menang 10 kerusi, manakala PKR dan Amanah masing-masing memperoleh satu kerusi.

Perikatan Nasional (PN) pula memenangi tiga kerusi dengan Bersatu dua dan Pas satu, manakala Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) turut memperoleh satu kerusi.

Sementara itu, ditanya mengenai pembahagian kerusi bagi PRN Sabah, Mohamad berkata rundingan masih berjalan dan Amanah berhasrat untuk bertanding di beberapa kerusi.

“Buat masa ini belum diketahui lagi.

“Kalau boleh kita mahu banyak… bagaimanapun semuanya masih dalam proses rundingan,” katanya lagi.