Sanusi yakin PH-BN ‘runtuh’ di Sabah, PN kekal utuh hingga PRU16

BUKIT KAYU HITAM – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yakin Perikatan Nasional (PN) kekal utuh dan mampu bertahan sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) meskipun berdepan pelbagai persepsi politik.

Beliau berkata, sebaliknya Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dijangka ‘runtuh’ terlebih dahulu, khususnya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah berdasarkan perkembangan politik semasa di negeri itu.

“Setakat ini, PN belum bincang apa-apa persediaan untuk PRN Sabah, kita tengok dahulu mereka (PH-BN) berkelahi.

“PN juga tiada petanda untuk berpecah, yang akan pecah dahulu ialah PH dengan BN,” katanya ketika ditemui selepas majlis peluncuran Pembangunan Taman Perindustrian Bersepadu Pintar NCT InnoSphere, usahasama antara Northern Gateway (NGX) dan Kumpulan Syarikat NCT di sini pada Isnin.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.

**media[3290005]**

Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas dan PN berkata, semua aspek dan suasana politik semasa diambil kira sebelum sebarang ketetapan dibuat untuk menghadapi PRN Sabah.

“Kita tengok suasana semuanya dahulu, setakat ini, semua okey, tiada apa-apa yang merisaukan. PN tiada petanda untuk berpecah, yang akan pecah dahulu PH dengan BN,” katanya.

Menurutnya lagi, pola politik baharu semakin kompleks dan semua parti termasuk PH, BN dan Pas sendiri perlu membuat penyesuaian serta anjakan strategi.

“Susah, bukan senang untuk menguruskan politik baharu sebab pola sudah tidak sama seperti dahulu. Semua parti perlu membuat penyesuaian dan anjakan terutama dalam berdepan saingan serta cabaran PRN Sabah yang dilihat lebih rumit,” katanya.

Sanusi menegaskan, parti itu sentiasa bersedia menghadapi sebarang pilihan raya dan tidak berdepan isu dalaman seperti yang digembar-gemburkan.

Mengulas mengenai tanggapan pihak luar yang menyifatkan PN bergolak selepas Muktamar Pas baru-baru ini disebabkan isu calon Perdana Menteri, Sanusi berkata, perkara itu sudah selesai.

“Sejuk sudah isu itu, jangan dipanaskan lagi. Isu itu tidak mampu dipanjangkan kerana tiada apa-apa yang bergolak. Program ini pun ada wakil rakyat dari Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), semua okey.

“Itu teguran biasa sahaja, selepas muktamar habislah,” jelasnya.

Sanusi berkata, Pas baru sahaja selesai menyusun semula jawatankuasa selepas muktamar dan beliau kembali dilantik sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya.

“Selepas ini kerja saya mula hentam orang, kerja-kerja pilihan raya lah, hentam orang hobi saya dalam pilihan raya,” katanya berseloroh.

Ditanya sama ada mesyuarat Majlis Tertinggi PN sudah diadakan selepas Muktamar Pas berakhir bagi membincangkan isu-isu yang dibangkitkan termasuk penggunaan logo pilihan raya dan calon Perdana Menteri, Sanusi menjelaskan, tarikh mesyuarat berkenaan belum diputuskan.

“Nanti mereka akan panggil semua yang terlibat, kita pergi lah (mesyuarat), setakat ini belum buat apa-apa mesyuarat lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah sempat ‘mengusik’ Hui Ying yang turut hadir pada sidang media berkenaan.

“PH-BN akan runtuh dahulu, tidak percaya tanya orang sebelah (sambil merujuk kepada Hui Ying ). Saya sekarang kawan baik dengan adik Lim Guan Eng, kerja semua baik (lancar),” kata Sanusi yang gemar bergurau dan disambut ketawa oleh Ahli Parlimen Tanjong itu.