Wan Saiful nafi gerakan SD jatuhkan Muhyiddin

KUALA LUMPUR - Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan menegaskan, akuan bersumpah (SD) yang dikumpulkan membabitkan 120 ketua bahagian parti itu bukan bertujuan untuk mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur sebagai presiden.

Sebaliknya, menurut Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu, dokumen berkenaan hanya untuk menyokong ahli MPT memberi mandat kepada Muhyiddin menyusun pelan peralihan parti.

“Kita siap letakkan syarat bahawa Tan Sri Presiden mesti terus di depan... di mana salahnya kandungan dokumen ini? Tidak ada satu ayat pun menolak presiden. 

"Saya harap kita jelas mengenai kandungan dokumen ini," katanya ketika sidang media di sini pada Isnin.

Beliau turut menyifatkan dakwaan bahawa SD itu bertujuan mendesak Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai 'naratif songsang'.

Media sebelum ini melaporkan empat ketua bahagian Bersatu termasuk Wan Saiful akan dihadapkan ke Jawatankuasa Lembaga Disiplin untuk tindakan tatatertib berhubung dakwaan berkenaan.

Selain Wan Saiful, tiga pemimpin Bersatu lain yang dipanggil ialah Ketua Bahagian Ampang, Mohd Isa Saidi; Ketua Bahagian Sepang, Datuk Suhaimi Mohd Ghazali dan Ketua Bahagian Ipoh Timor, Muhammad Fadhli Ismail.

Mereka didakwa terlibat dalam pengumpulan SD dalam kalangan ketua bahagian Bersatu di seluruh negara bagi mengusulkan perbincangan mengenai langkah transisi kepimpinan parti kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Mengulas lanjut, Wan Saiful menegaskan, usaha mereka adalah untuk membersihkan nama baik bukan sahaja di dalam parti tetapi juga di mata rakyat.

“Niat kami hendak bersihkan nama baik kami. Bila saya sebut 'kami', saya tak maksudkan kami empat orang saja, tetapi 120 orang ketua bahagian yang bersama dalam usaha ini,” ujarnya lagi.

Wan Saiful berkata, sehingga hari ini, Muhyiddin dipercayai belum melihat SD yang sebenar.

Beliau juga menegaskan bahawa SD mendesak Muhyiddin meletak jawatan yang tersebar di media sosial, tiada kaitan dengan SD yang dikumpulkan pihaknya.

“SD itu tiada tandatangan pun (dan) tak relevan,” katanya.

Tambah beliau, dokumen ditandatangani 120 ketua bahagian Bersatu itu juga bagi menggesa supaya tiada usul tidak sesuai dibawa dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT).

“Jika usul berkenaan dibawa, Bersatu berisiko hilang kerusi Pengerusi PN dan peluang meletakkan pemimpin parti sebagai calon Perdana Menteri.

“Kalau berlaku, dua kehilangan ini berpunca daripada usul di PAT. Naratif bahawa kami mahu jatuhkan presiden adalah palsu. Fitnah ini menyebabkan parti bertelagah sesama sendiri,” katanya.