Pilihan raya serentak: Saarani yakin SPR ambil kira pandangan semua pihak

IPOH - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diyakini akan mengambil kira pandangan semua pihak termasuk parti politik dalam memutuskan sama ada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) peringkat Persekutuan dan negeri diadakan secara serentak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pandangan itu termasuklah isu menjimatkan perbelanjaan dan pemilihan tempoh masa yang sesuai seperti mengelak musim banjir.

"Walaupun sebenarnya kita semua faham bahawa tugas mengurus dan mengendalikan pilihan raya adalah tugas SPR.

"Namun pada kebiasaannya, SPR akan mengambil kira pandangan dan pendapat daripada parti politik juga," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan 2025 dan Jubli Emas Rukun Tetangga peringkat Negeri Perak di pekarangan Stadium Indera Mulia di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K Saraswathy Kandasami.

Menurut Saarani, status tamat penggal yang menyaksikan kekerapan Pilihan Raya Negeri (PRN) bermula tahun ini di Sabah, sudah pasti memberi input penting kepada SPR untuk mempertimbangkan keperluan berkenaan.

"Tahun ini PRN Sabah, tahun depan Melaka diikuti Sarawak dan Johor sebelum PRU diadakan.

"Jadi sudah tentu diambil kira tempoh-tempoh itu dan juga berkaitan dengan perbelanjaan pilihan raya," katanya.

Terdahulu, media melaporkan bahawa DAP mengesyorkan supaya PRU16 bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) diadakan secara serentak dengan beberapa PRN.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu dapat menjimatkan kos sekali gus memastikan kelancaran proses pilihan raya yang akan diadakan.

Mengulas lanjut, Saarani yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak berkata, cadangan dilontarkan itu mengambil kira banyak faktor termasuk kos pilihan raya yang besar serta suasana ketika pilihan raya diadakan.

"Saya tidak mahu mengulas lanjut kerana itu pandangan beliau. Ahli dan parti politik akan memberi pandangan masing-masing.

"Akhirnya, SPR juga yang akan membuat keputusan," katanya.