Mahfodz Mohamed dilantik Pesuruhjaya Pas Johor yang baharu

JOHOR BAHRU – Bekas Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed, dilantik sebagai Pesuruhjaya Pas Johor yang baharu.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, kepimpinan Mahfodz diyakini mampu memperkukuhkan perjuangan serta mempererat kerjasama dalam saf PN negeri ini.

“Semoga kepimpinan beliau terus memperkukuh perjuangan serta memantapkan lagi kerjasama dalam saf Perikatan Nasional di Johor," kata dalam kenyataan pada Sabtu.

Sahruddin yang juga bekas Menteri Besar Johor turut merakamkan penghargaan kepada Pesuruhjaya Pas Johor terdahulu, Abdullah Husin, atas jasa, pengorbanan dan kepimpinan sepanjang menerajui parti di negeri ini.

“Moga dengan kepimpinan baharu ini, ukhuwah serta kesatuan kita dalam Perikatan Nasional semakin kukuh demi membela rakyat, agama, bangsa dan negara,” katanya.

Mahfodz kembali memimpin barisan Pas negeri selepas kali terakhir memegang Pesuruhjaya Pas Johor dari 2015 sehingga 2017.

Pada 16 September lalu, Pas mengumumkan pelantikan 11 pemimpin kanan bagi melengkapkan senarai Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas Pusat bagi penggal 2025-2027.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dalam kenyataan turut mengumumkan senarai Pesuruhjaya Pas Negeri yang menyaksikan rombakan kecil termasuk di Johor.