ALOR SETAR – Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Mahfuz Omar menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar segera membuka kertas siasatan berhubung sumber kewangan yang digunakan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Gesaan itu dibuat susulan pendedahan bekas ketua setiausaha sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad yang menyatakan bahawa keseluruhan kos PRU15 PN ditanggung sepenuhnya oleh Bersatu.
Menurut Mahfuz, Marzuki turut mendedahkan sebahagian besar dana tersebut disalurkan kepada Pas.
“Persoalan besar kini timbul. Dari mana datangnya dana yang begitu besar? Siapa dalam Pas yang menerima dana itu? Dan mengapa ia tidak dibentangkan secara telus dalam mesyuarat rasmi parti?” katanya dalam satu kenyataan.
Mahfuz turut memetik kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang bertanya wang itu diberi kepada siapa sekali gus menimbulkan kemungkinan wujud kepincangan dalam pengurusan dana pilihan raya oleh Pas.
Beliau menegaskan bahawa Pas tidak boleh lagi berselindung di sebalik slogan ‘bersih’ dan ‘telus’ sekiranya wujud persoalan besar tentang ketelusan kewangan parti itu.
“Rakyat berhak tahu siapa sebenarnya yang menerima dana jutaan ringgit itu. Bersatu pula wajib mendedahkan punca dana yang membiayai keseluruhan jentera PN,” ujar beliau.
Mahfuz turut menyelar retorik politik yang didakwanya cuba memperbodohkan rakyat dengan imej kononnya bersih dan amanah, sedangkan wujud persoalan besar di belakang tabir.
“Soalan pertama rakyat sekarang duit itu dari mana dan soalan kedua, duit itu masuk poket siapa,” katanya lagi.
Beliau menegaskan SPRM perlu bertindak segera dan menyiasat secara menyeluruh bagi memastikan ketelusan serta integriti dalam pengurusan dana politik, demi menjaga kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi negara.