KOTA KINABALU - Pas Sabah tidak pernah membincangkan isu berkaitan cadangan memilih Datuk Aliakbar Gulasan sebagai calon Ketua Menteri.
Ketua Dewan Pemuda Pas Sabah, Hendri Hamsah berkata, fokus utama Pas Sabah ketika ini bagi memastikan kemenangan bersama Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Menurutnya, segala keputusan mengenai kepimpinan negeri hanya akan dibincangkan secara muafakat dalam gabungan PN selepas mandat rakyat diperoleh.
"Tidak dinafikan, kenyataan calon Ketua Menteri tersebut muncul kerana ada pihak luar melihat Datuk Dr Aliakbar sebagai seorang tokoh berwibawa, berilmu dan mempunyai potensi besar dalam politik Sabah.
"Beliau sendiri selama ini berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan dengan komitmen kepada rakyat tanpa pernah menuntut jawatan tertentu. Ini mencerminkan bahawa keutamaan beliau seiring dengan perjuangan Pas iaitu berkhidmat kepada rakyat, bukan mengejar kedudukan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Katanya lagi, pandangan luar yang menilai Aliakbar sebagai tokoh berpotensi besar dalam politik Sabah adalah satu pengiktirafan.
Namun katanya, Pas Sabah mengambil pendirian bahawa pengiktirafan itu harus diterjemahkan kepada kemenangan bersama PN terlebih dahulu.
"Fokus utama Pas Sabah adalah memperkukuh kesatuan dan keutuhan PN Sabah. Kami percaya hanya melalui kesepakatan, persefahaman dan strategi bersama, PN dapat menawarkan kepimpinan yang stabil dan berwibawa untuk rakyat Sabah.
"Pas Sabah sentiasa mengutamakan hubungan harmoni dengan rakan-rakan gabungan dalam PN. Kami yakin keutuhan PN adalah kunci untuk menghadapi cabaran PRN17 dan memberikan alternatif yang lebih baik kepada rakyat," katanya.
Beliau berkata, Pas Sabah yakin rakyat lebih memerlukan penyelesaian kepada isu kos sara hidup, pembangunan dan kesejahteraan berbanding spekulasi politik mengenai jawatan.
"Pas Sabah juga komited untuk memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah dalam kerangka PN.
"Kami ingin memastikan aspirasi rakyat Sabah didengari dan dihormati oleh kerajaan yang bakal dibentuk," katanya.