Empat fakta tepis dakwaan UMNO di Wilayah Persekutuan dilayan seperti 'anak pungut'

SHAH ALAM - Pegawai khas kepada Menteri Wilayah Persekutuan mengemukakan empat fakta bagi menafikan dakwaan UMNO Bahagian Batu bahawa parti itu dilayan seperti 'anak pungut'.

Setiausaha Politiknya, Nor Azrina Surip berkata, pelaksanaan dasar dan program kerajaan di Wilayah Persekutuan realitinya turut melibatkan UMNO meskipun ia tidak dizahirkan dalam bentuk program politik kepartian.

Menurut beliau, pelantikan politik di agensi strategik Wilayah Persekutuan turut melibatkan wakil Barisan Nasional (BN).

"Beberapa pimpinan UMNO dan BN dilantik ke dalam agensi utama seperti Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Lembaga Pengarah Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB), Perbadanan Putrajaya (PPj), Perbadanan Labuan dan Yayasan Wilayah Persekutuan, hasil rundingan dalaman kerajaan.

"Pelantikan itu dibuat secara merit dan melalui proses tapisan yang telus maka, adalah tidak adil untuk menyatakan seolah-olah tiada ruang langsung diperuntukkan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Nor Azrina berkata, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang juga Pengerusi UMNO Wilayah Persekutuan adalah ahli tetap Majlis Menteri Wilayah.

"Majlis itu merupakan forum tertinggi dasar yang dipengerusikan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa bagi menentukan hala tuju pembangunan Wilayah Persekutuan.

"Selain itu, dalam memahami keperluan representasi seimbang dalam konteks kerajaan, menteri telah mengarahkan semakan semula garis panduan pelantikan Majlis Perwakilan Penduduk (MPPWP) agar kuota minimum untuk wakil BN diperuntukkan di setiap subzon," katanya.

Tambah beliau, peruntukan khas menteri terbuka kepada semua tanpa mengira fahaman politik.

"Tidak sedikit pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diketuai aktivis UMNO termasuklah UMNO Bahagian Batu tidak terkecuali daripada menerima peruntukan khas program komuniti, selagi cadangan yang dikemukakan menepati syarat dan membawa manfaat kepada masyarakat.

"Prinsip keterbukaan dan keadilan sosial inilah yang menjadi teras pendekatan Kerajaan Madani," katanya.

Nor Azrina berkata, perjuangan dalam memastikan manfaat kepada rakyat perlu diutamakan berbanding perjuangan individu.

"Tidaklah wajar sekiranya hanya kerana perjuangan individu seperti Persatuan Penjaja pimpinan Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim yang tidak dapat menguruskan Bazar Ramadan tahun ini dijadikan alasan untuk menafikan hakikat yang sebenar.

"Kita semua mempunyai tanggungjawab kolektif untuk membina keyakinan rakyat terhadap kestabilan dan keberkesanan kerajaan dan sekiranya ada kekeliruan atau ruang penambahbaikan, saluran rasmi sentiasa terbuka," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan UMNO Bahagian Batu mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan politik dengan komponen Pakatan Harapan (PH) di peringkat Parlimen Batu dan Wilayah Persekutuan susulan isu pelantikan dalam Majlis Perwakilan Penduduk (MPP).

Gulam Muszaffar menegaskan, tindakan tersebut dibuat bagi mempertahankan hak seperti yang termaktub dalam pekeliling rasmi DBKL yang dikeluarkan Dr Zaliha.