Keputusan MIC sertai PN dimuktamad November ini - Saravanan

TAPAH - MIC akan memuktamadkan keputusan berhubung masa depan di dalam Barisan Nasional (BN) serta menerima pelawaan menyertai Perikatan Nasional (PN) pada perhimpunan agung parti itu yang dijadualkan berlangsung November ini.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan berkata, meskipun terdapat jemputan daripada Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kuasa untuk membuat keputusan bukan terletak pada pimpinan tertinggi parti.

Menurutnya, segala keputusan bergantung kepada sokongan perwakilan di dalam Perhimpunan Agung MIC nanti.

"Memang ada jemputan daripada Pas dan Bersatu, saya ucapkan terima kasih dan perkara ini boleh diputuskan oleh perhimpunan agung, bukan saya ataupun presiden. Memang saya dengan presiden tak ada kuasa untuk memutuskan.

“Bulan November ini, perwakilan akan memberi pendapat. Walaupun kita setakat ini sudah dapat mandat daripada beberapa negeri, keseluruhan keputusan tetap kita serah kepada perhimpunan agung,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Ziarah Bulan Kemerdekaan ke-68/2025 di Kampung Orang Asli Batu 19 ½ Jalan Pahang di sini pada Jumaat.

Saravanan berkata, jemputan itu membuktikan Pas melihat MIC sebagai kuasa yang masih berpengaruh khususnya dalam kalangan masyarakat India.

Menurutnya, pelawaan itu juga memperlihatkan keterbukaan Pas bekerjasama dengan parti utama masyarakat India di negara ini.

Ditanya mengenai kedudukan MIC dalam Barisan Nasional (BN), Saravanan menjelaskan hubungan itu masih kekal baik walaupun tidak begitu aktif.