SHAH ALAM – Bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak berpesan supaya parti komponen terus mempertahankan warisan perjuangan BN dan jangan berpecah kerana perpecahan hanya akan merobohkan gabungan parti berkenaan.
Pengarah Komunikasi Pemuda BN, Neow Choo Seong berkata, pesanan yang sangat menusuk jiwa itu disampaikan Najib kepada beliau ketika berjumpa bekas Perdana Menteri itu yang menghadiri prosiding kes di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis.
Choo Seong yang juga Ketua Penerangan Pemuda MCA turut menyindir bahawa kehadirannya ke mahkamah bukan untuk mengucapkan selamat tinggal kepada parti.
“Hari ini saya ke mahkamah bukan untuk mengucap ‘selamat tinggal’, tetapi dengan penuh doa dan harapan menanti detik untuk berkata, ‘Selamat kembali’ kepada Datuk Seri Najib.
“Pesan beliau menusuk jiwa iaitu warisan perjuangan BN mesti terus dipertahankan. Inilah amanah, inilah semangat perjuangan, bersatu kita teguh bercerai kita roboh!” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Pada Selasa lalu, portal berita Malaysiakini melaporkan kunjungan oleh pucuk pimpinan MIC yang diketuai Presidennya, Tan Sri SA Vigneswaran ke atas Najib di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sehari sebelum itu mencetuskan spekulasi bahawa parti tersebut sudah bersedia untuk meninggalkan BN.
Menurut sumber yang berpengetahuan mengenai kunjungan itu, pucuk pimpinan MIC sempat bertemu dengan Najib untuk memaklumkan kepadanya mengenai hala tuju parti tersebut.
Kata sumber itu, secara mudahnya MIC berjumpa Najib untuk mengucapkan 'sayonara' (selamat tinggal) kepada BN.
Selain Vigneswaran, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan, Naib Presiden, Datuk M Asojan dan Setiausaha Agung, Datuk S Ananthan turut hadir pada pertemuan itu yang dikatakan diadakan hampir sejam.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi bayangan bahawa gabungan itu bakal diperkukuhkan dengan kerjasama lebih banyak parti termasuk kemungkinan penyertaan MIC dan MCA sebagai ‘PN Plus’ menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Malah, Timbalan Ketua Pemuda MIC, K Kesavan juga dilapor menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2025 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) pada Sabtu lalu sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati pemimpin UMNO.