Namakan, sokong calon PM akan diputuskan dalam PAT- MIPP

SHAH ALAM - Sebarang keputusan Malaysian Indian People Party (MIPP) sama ada mahu menamakan calon, menyokong atau sebaliknya akan diputuskan dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) parti.

Presiden MIPP, Punithan Paramsiven berkata, namun perkara yang jelas pihaknya tidak menuntut jawatan Perdana Menteri.

Bagaimanapun, ia bukan bermaksud tidak akan menyokong atau memilih individu yang dirasakan paling layak sebagai calon Perdana Menteri.

"Kami juga mahu bincang tentang kedudukan MIPP di dalam kerajaan yang bakal dibentuk.

"MIPP mahu mainkan peranan lebih luas mewakili masyarakat India di dalam kerajaan yang bakal dibentuk nanti, itu kami tidak akan kompromi," jelasnya.

Tambah Punithan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah mencadangkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri.

Jelasnya, itu adalah keputusan parti dan ia tidak salah sama sekali.

Beliau memberitahu, Pas juga boleh mencadangkan calon mereka sekarang mahu.

"Demikian juga MIPP atau Gerakan, yang berhak menamakan calon mereka sendiri.

"Namun demikian, tidak dapat dinafikan Muhyiddin adalah tokoh paling senior, mantan Perdana Menteri, Pengerusi PN dan mempunyai pengalaman luas serta rekod kepimpinan yang terbukti sewaktu mengemudi negara dalam tempoh krisis.

"Populariti serta kredibiliti beliau merupakan faktor penting yang tidak boleh diketepikan dalam perbincangan ini," jelasnya.

Punithan berpendapat, Muhyiddin merupakan seorang yang tegas, fokus dan berprinsip, prihatin terhadap pembangunan semua kaum.

"Setakat ini hanya satu nama telah dikemukakan secara rasmi iaitu Muhyiddin," katanya.