Razman kekal digantung enam bulan

IPOH - Hukuman penggantungan Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria daripada menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) selama enam bulan dikekalkan.

Keputusan itu dibuat oleh Speaker DUN, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid setelah meneliti usul yang dihantar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin pada Selasa.

Menurut Mohammad Zahir, penggantungan tersebut tidak menjejaskan tugas Razman iaitu ADUN Gunung Semanggol kerana tidak melibatkan elaun serta kuasa sebagai wakil rakyat.

"Ia (usul) merupakan perkara yang bersifat akademik semata-mata kerana penggantungan Gunung Semanggol itu akan tamat pada bulan Oktober nanti dan insya-ALLAH beliau akan dapat menghadiri persidangan ini pada bulan November yang akan datang.

"Saya terima usul itu daripada Sungai Manik dan saya telah teliti dengan baik dan menimbang dengan semasak-masaknya selepas kita telah selesai urusan daripada pihak kerajaan maka usul ini saya tolak dengan baik," katanya ketika Sidang DUN Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Khamis.

Mohammad Zahir berkata, penggantungan enam bulan terhadap Razman dibuat atas perbuatan yang didapati salah oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Jelasnya, perkara itu telah diperakukan dan hukuman yang dikenakan telah dipersetujui di dalam DUN.

Pada Selasa, DUN Perak menerima usul daripada pembangkang meminta agar tempoh penggantungan Ketua Pembangkang, Razman Zakaria dipendekkan.

Usul yang dikemukakan Zainol Fadzi itu dihantar kepada Mohammad Zahir kira-kira satu jam sebelum persidangan bermula.

Menurut Zainol Fadzi, usul tersebut dikemuka di bawah peraturan mesyuarat 17(1)(p), 21(1)(2), dan 76(1) Perintah-Perintah Tetap Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan untuk dipertimbangkan oleh Dewan.