Bersatu Kelantan teguh di belakang Muhyiddin

KOTA BHARU – Badan Pimpinan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan menegaskan sokongan padu terhadap Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sekali gus menafikan sekeras-kerasnya dakwaan pernah mempertikai kedudukan Ahli Parlimen Pagoh itu.

Setiausaha Bersatu Kelantan, Mohd Wira Arjuna Muhamad berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan yang menggambarkan wujud pendirian negatif terhadap kepimpinan Muhyiddin.

“Sebarang laporan di portal berita atau akhbar yang menimbulkan persepsi seolah-olah ada keraguan daripada Bersatu Kelantan terhadap Presiden parti adalah tidak benar dan bukan daripada sumber rasmi,” katanya kepada pemberita pada Khamis.

Jelasnya, Muhyiddin telah diberikan mandat secara sebulat suara oleh perwakilan dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) 2025 untuk terus menerajui Bersatu sehingga tamat penggal pada tahun 2027.

Ujarnya, Bersatu Kelantan kekal berpegang teguh dengan mandat itu serta konsisten menyokong kepimpinan Muhyiddin tanpa berganjak.

“Sekiranya ada mana-mana ahli atau pemimpin yang menyatakan pendirian berbeza, ia adalah pendapat peribadi semata-mata dan sama sekali tidak mewakili pendirian rasmi Bersatu Kelantan,” katanya.

Media tempatan pada Rabu melaporkan, sekurang-kurangnya enam daripada 14 ketua bahagian Bersatu di Kelantan mengakui menandatangani akuan bersumpah (SD) yang mendesak Muhyiddin berundur dan menyerahkan jawatan Presiden kepada Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Seorang ketua bahagian Bersatu yang enggan dikenali mendakwa, enam ketua bahagian itu adalah antara 120 ketua bahagian yang hadir pada satu pertemuan di ibu negara awal bulan ini.