IPOH - Akuan bersumpah (SD) yang didakwa mahu menyingkirkan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebenarnya tidak wujud.
Perkara itu didedahkan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Zainol Fadzi Paharudin yang memaklumkan bahawa SD yang wujud sebenarnya hanya menyokong presiden.
Menurutnya, tiada SD yang dibuat untuk menjatuhkan Muhyiddin seperti yang didakwa pihak tertentu.
"Yang saya tahu, SD itu menyokong presiden. Bukan minta jatuh presiden. Jadi isu tentang SD ini saya rasa patutnya tak ada masalah sebab SD ia pernah juga timbul di Perak. Kata ada 16 SD lah, ada 13 lah macam-macam, tapi tak nampak SD ini mana.
"Semua ini mungkin persepsi. Kebetulan ada satu kenyataan ketika mesyuarat sayap-sayap Bersatu itu mengatakan ada 120 ketua bahagian makan tengah hari dengan timbalan presiden. Mungkin itulah dianggap sebagai SD," katanya kepada pemberita ketika ditemui menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Selasa.
Zainol Fadzi menjelaskan kekecohan yang berlaku ketika Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2025 merupakan salah faham malah individu didakwa terlibat dalam kejadian tersebut sudah memberikan keterangan kepada polis.
Menurutnya, beberapa orang yang ditemui menyaksikan kejadian itu turut mengakui tidak berlaku laungan 'turun presiden' seperti didakwa ketika kekecohan tersebut.
"Tapi pada saya, bila presiden dah buat rumusan, timbalan presiden menyatakan sokongan, sepatutnya selesai. Tutup bukulah. Cuma hari ini biasalah, rumah dah siap, pahat masih berbunyi. Macam-macam andaian.
"Kalau nak dikaitkan (gerakan mengumpul SD) dengan saya dan sebagainya, saya dah biasa dikaitkan. Macam-macam perkara, saya ini antara orang yang dikaitkan. Tapi Alhamdulillah, masih berada di sini, dapat penggal dalam Dewan ini," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik.
Dalam pada itu Zainol Fadzi menyifatkan kewujudan kem-kem yang menyokong pemimpin tertentu di dalam parti politik bukan perkara luar biasa termasuklah di dalam Bersatu.
Jelasnya, setiap ahli dan pemimpin akar umbi mempunyai pemimpin tertentu yang mereka gemari.
"Sebenarnya dalam politik ini, kita ada kem-kem tertentu dan ini perkara biasa. Kem timbalan, kem naib presiden, itu biasa sebab dia minat, dia sokong. Itu bukan benda yang luar biasa. Kita menyokong seseorang, itu bukanlah sebagai satu benda yang luar biasa.
"Apa yang berlaku itu pada saya benda yang normal dalam mana-mana parti. Parti-parti lain macam-macam juga berlaku. Tapi mungkin disebabkan masa dan ketikanya tak betul," katanya.
PAT Bersatu 2025 pada Sabtu lalu kecoh apabila Muhyiddin mendakwa ada komplot mengumpul tandatangan termasuk SD bagi menjatuhkannya sebagai presiden.
Kekecohan itu berlaku di bahagian tengah dewan dan dipercayai melibatkan perwakilan parti yang tidak berpuas hati dengan beberapa isu dalaman.
Keadaan tersebut memaksa pasukan keselamatan parti campur tangan dengan segera bagi menenangkan suasana.