Bersatu belum putuskan calon Ketua Menteri Sabah untuk PRN17 - Muhyiddin

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan memutuskan nama calon Ketua Menteri Sabah mewakili panji Perikatan Nasional (PN) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 bila tiba masanya.

Bagaimanapun, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan individu dimaksudkan antaranya ialah Naib Presiden merangkap Ketua Bersatu Sabah iaitu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Menurut beliau, perkara tersebut belum dibincangkan lagi di peringkat pimpinan parti.

"Ronald sebagai calon Ketua Menteri Sabah... mungkin juga. Cuma macam saya katakan tadi, bila tiba masanya kita (pimpinan Bersatu) akan putuskan.

"Kita ada beberapa strategi belum diselesaikan lagi contohnya kerjasama dengan parti yang sehaluan dengan Bersatu.

"Kalau kita dah umum terlalu awal, mungkin ia bukan langkah bijak. Jadi, tunggu sahaja masa yang sesuai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu ke-8 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini pada Ahad.

Sebelum ini, media melaporkan, Bersatu Sabah mengemukakan laporan untuk pertimbangan Muhyiddin mengenai persiapan menghadapi PRN Sabah akan datang di bawah panji PN, kata Setiausaha Agung parti berkenaan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

PAT Bersatu berlangsung selama dua hari bermula 6 hingga 7 September, dihadiri pemimpin dan 2,555 perwakilan dari 202 bahagian seluruh negara.

Hadir sama, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin; barisan Naib Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin dan ramai lagi.

Tema digunakan kali ini adalah 'Bersatu Menuju Kemenangan' yang menekankan keutuhan muafakat, kepelbagaian pandangan dan semangat kebersamaan sebagai kunci kekuatan parti.