Umum penyokong nombor satu, Muhyiddin ucap terima kasih kepada Hamzah

SHAH ALAM - Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin merakamkan penghargaan kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin kerana menjadi penyokong nombor satunya.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh turut menyifatkan Ketua Pembangkang itu sebagai sahabat karib dalam perjuangan parti.

“Terima kasih Datuk Seri Hamzah. Kami semua adalah kawan. Tetapi sudah tentu ada pihak yang cuba memperlihatkan saya dan Hamzah seolah-olah bukan kawan yang baik.

“Apa yang telah kami lakukan pada pemilihan lalu, kita mencapai persefahaman bahawa Hamzah dinaikkan sebagai Timbalan Presiden.

“Kami mencapai persefahaman bersama dan saya harap sekarang ini bukan hanya permulaan yang baik, tetapi lebih kukuh daripada sebelum ini. Saya rasa itu lebih baik untuk parti,” katanya pada sidang akhbar selepas selesai Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) ke-8 Bersatu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam pada Ahad.

Terdahulu, Hamzah ketika menggulung ucapan dasar Presiden menegaskan beliau bukanlah pengkhianat kepada Muhyiddin yang menerajui Bersatu.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Larut itu menekankan bahawa beliau akan menjadi penyokong nombor satu yang sentiasa mempertahankan Muhyiddin sebagai Presiden.

Hamzah turut berikrar untuk kekal setia kepada Bersatu sehingga akhir hayatnya.