PN sasar bentuk gabungan longgar pembangkang hadapi PRU16

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) menyasarkan pembentukan sebuah pakatan politik gabungan longgar melibatkan parti-parti pembangkang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, usaha ke arah itu kini menunjukkan perkembangan positif.

“Mana pernah berlaku dalam sejarah politik negara, sebuah gabungan parti seperti PN berjaya mempelawa mereka duduk bersama.

“Ya, mereka mempunyai ideologi yang tidak sama. Ada perkara yang dipersetujui bersama dan ada juga yang berbeza pandangan, itu tidak menjadi masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu ke-8 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam pada Ahad.

Sebelum ini, Muhyiddin dilaporkan berkata, sebanyak 12 parti pembangkang bersetuju menubuhkan sebuah gabungan longgar bagi memperjuangkan isu rakyat yang didakwa gagal ditangani oleh Kerajaan Madani, termasuk janji reformasi yang masih belum dilaksanakan.

Antara parti terbabit ialah Bersatu, Pas, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP).

Selain itu, turut disenaraikan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Kemajuan Malaysia (MAP) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, sekiranya gabungan itu berjaya dibentuk menjelang PRU16, ia berpotensi memberi kelebihan besar melalui undi ‘swing’.

“Kita sudah buat simulasi. Kalau tiga peratus undi berpihak kepada kita, ia boleh memberikan tambahan antara 11 hingga 22 kerusi Parlimen,” ujarnya.