SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu menjadikan insiden kekecohan yang berlaku ketika Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang menyampaikan ucapan dasar sebagai satu iktibar.
Naib Presidennya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, semua pihak sama ada pemimpin atau ahli perlu bersama-sama memperbaiki kerosakan imej parti yang berlaku akibat insiden tersebut.
“Kalau niatnya hendak merosakkan imej parti, maka kita perlu sama-sama baiki kerosakan itu.
“Kita belajar daripada apa yang berlaku. Pesan saya kepada sahabat semua, kata orang ‘carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum jua’.
“Maka, jika ada yang terguris atau tercalar, kita ketepikan. Kita berada di sini bukan untuk diri kita semata-mata, tetapi demi anak cucu kita,” katanya ketika menggulung ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) ke-8 Bersatu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini pada Ahad.
Media sebelum ini melaporkan bahawa kekecohan dan pergelutan berlaku ketika Muhyiddin menyampaikan ucapan dasar Presiden pada malam Sabtu.
Kejadian itu berlaku di bahagian tengah dewan, dipercayai melibatkan beberapa perwakilan parti yang tidak berpuas hati selepas Muhyiddin menyentuh mengenai gerakan mengumpul akuan bersumpah (SD) untuk menjatuhkannya.
Mengulas lanjut, Mohd Radzi menegaskan bahawa sasaran parti seharusnya difokuskan kepada pihak lawan, bukannya menyerang sesama sendiri.
“Paling penting sekarang ialah fokus. Dalam perang, kita mempunyai peluru terhad, masa terhad. Jadi, fokus itu mestilah ditujukan kepada lawan kita, musuh kita,” tegasnya.