BN minta penjelasan MIC kehadiran pemimpin ke PAT Armada Bersatu

BAGAN DATUK – Barisan Nasional (BN) akan menghantar surat rasmi kepada MIC bagi meminta penjelasan berhubung tindakan seorang pemimpin sayap parti itu menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Shah Alam pada Sabtu.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, MIC perlu memberi penjelasan bertulis kerana Bersatu bukan sebahagian daripada gabungan BN sebaliknya parti pembangkang.

Menurutnya, perbuatan tersebut tidak sepatutnya berlaku memandangkan BN merupakan sebahagian daripada parti kerajaan.

"Kita serahkan kepada Kepimpinan MIC untuk mengambil sebarang tindakan disiplin berdasarkan peraturan partinya dan mereka juga akan dipinta oleh Setiausaha Agung BN untuk memberikan penjelasan secara bertulis kenapa menghantar wakil.

“Ia satu manifestasi yang tidak baik dan tidak sepatutnya mana-mana wakil parti komponen BN menghadiri persidangan anjuran parti di luar Kerajaan Madani, sama ada atas kapasiti peribadi mahupun rasmi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Motivasi Desa (Mode) Kemas dan Bakti Madani UiTM di Dewan Masjid Tuminah Hamidi di sini pada Ahad.

Hadir sama, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Pada Sabtu, media melaporkan Timbalan Ketua Pemuda MIC, K Kesavan hadir pada PAT Armada Bersatu kali ke-8 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam.

Kesavan dilihat duduk di barisan hadapan bersama Pengerusi PN yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika Ketua Armada Bersatu, Muhammad Hilman Idham menyampaikan ucapan dasar.

Perwakilan Armada Bersatu turut bersorak apabila MIC disebut dalam ucapan alu-aluan Muhammad Hilman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia.