UMNO lantik Johari ketuai pasukan khas tambah baik RUU PSB

SHAH ALAM - UMNO melantik Naib Presidennya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani untuk mengetuai Pasukan Khas UMNO bagi penambahbaikan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB).

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pasukan khas itu bertanggungjawab meneliti dan memperhalusi setiap aspek RUU PSB secara terperinci sebelum dibentangkan dalam Konvensyen Melayu Bandar.

“Konvensyen itu bakal melibatkan kepimpinan tertinggi UMNO daripada negeri-negeri dan bahagian seluruh Malaysia, selain penyertaan parti-parti politik Melayu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik serta masyarakat sivil.

“Konvensyen Melayu Bandar dijadualkan berlangsung pada penghujung bulan September,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, resolusi hasil konvensyen tersebut kelak akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.