Potensi besar GRS tawan kubu Warisan di Pantai Timur

DEWAN Undangan Negeri (DUN) Sabah akan terbubar secara automatik pada penghujung September ini, sekali gus membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) yang bakal menyaksikan pertarungan sengit merebut 73 kerusi di bumi bawah bayu.

Namun, majoriti pemerhati politik melihat Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berada dalam kedudukan lebih selesa berbanding Parti Warisan (Warisan), khususnya dengan penguasaan konsisten di pantai barat serta potensi menembusi beberapa kerusi pantai timur yang selama ini dianggap kubu kuat Warisan.

Buat masa ini, gabungan parti politik sedia ada dalam GRS merangkumi tujuh parti lokal iaitu Parti Gabungan Rakyat Sabah (PGRS); Parti Bersatu Sabah (PBS); Parti Solidariti Tanah Airku (STAR); Parti Maju Sabah (SAPP); Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS).

GRS yang dipimpin oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor kini bekerjasama dengan Pakatan Harapan Plus (PH bersama Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu(UPKO)).

Di blok pembangkang, parti-parti lain bersama Warisan adalah BN (UMNO dan Parti Bersatu Rakyat Sabah), Warisan, Perikatan Nasional (Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan Pas) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia (KDM).

**media[3260796]**

Ketika ini, komposisi semasa DUN Sabah pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu adalah GRS mendominasi dengan 37 kerusi DUN, Warisan (13 DUN), BN (12 DUN), PH Plus (tujuh DUN), diikuti parti-parti tunggal seperti KDM dan bebas (3 DUN) serta PHRS, Pas dan Bersatu (1 DUN).

Mengulas peluang GRS, pensyarah kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah, Tony Paridi Bagang menegaskan parti gabungan pemerintah itu mempunyai kelebihan kerana berada di blok kerajaan dengan akses projek pembangunan sebagai kayu ukur pencapaian.

**media[3260798]**

“Sudah pasti kawasan-kawasan yang dahulunya terpinggir akan diberi tumpuan. GRS boleh jadikan pencapaian pembangunan ini sebagai modal politik untuk membina persepsi bahawa kerajaan mereka lebih baik berbanding sebelumnya,” katanya.

Beliau menambah, kestabilan politik dan pemilihan calon berakar umbi serta mampu menang menjadi kunci untuk GRS mengekalkan momentum.

“Faktor kestabilan politik adalah paksi utama. Jika berlaku perpecahan dalaman, ia boleh melemahkan keyakinan rakyat.

"Tetapi setakat ini peluang GRS agak kompetitif, lebih-lebih lagi dengan kehadiran banyak parti dan calon bebas yang bakal memecah undi Warisan," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Warisan tak mungkin bentuk kerajaan

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr Romzi Ationg pula menyatakan bahawa GRS kini menguasai sekitar 31 hingga 32 kerusi DUN, manakala Warisan hanya tinggal 14 kerusi selepas ramai wakil rakyatnya bertindak keluar parti pasca PRN16.

**media[3260800]**

"Untuk bentuk kerajaan, parti memerlukan 37 kerusi. Jumlah kerusi DUN di kawasan Pantai timur hanya ada sekitar 28 kerusi, jadi tidak mungkin Warisan boleh bentuk kerajaan hanya dengan kekuatan di zon itu.

"Pantai barat pula ada lebih banyak kerusi, di situlah GRS lebih kukuh,” katanya.

Menurut beliau, Warisan hanya pernah memenangi sekitar empat kerusi pantai barat pada PRN 2020 tetapi sebahagian sudah hilang.

"Sebaliknya GRS lebih konsisten di pantai barat dan ada fleksibiliti dengan kerjasama PH dan kemungkinan berlaku persefahaman tidak rasmi bersama BN menjelang pilihan raya,” katanya.

Romzi turut mengingatkan bahawa isu pendatang tanpa izin (PTI) masih kekal menjadi liabiliti besar kepada Warisan meskipun parti itu cuba menggunakan isu semasa lain.

"Persepsi kaitan Warisan dengan PTI masih jadi duri dalam daging buat mereka. Ini memberi ruang GRS menembusi kubu pantai timur terutamanya jika mereka pilih calon yang tepat," katanya.

Tony Paridi pula menyebut bahawa kehilangan beberapa pemimpin utama Warisan yang menyertai GRS memberi tamparan besar kepada parti berkenaan walaupun Warisan cuba tampil dengan barisan pelapis baharu.

“GRS boleh guna isu ini untuk membina naratif bahawa Warisan semakin lemah. Dalam politik Sabah yang dinamik, faktor ini tetap memberi kesan besar,” katanya.

Berdasarkan trend PRN 2020 dan dinamik kerjasama GRS–PH, sekurang-kurangnya enam hingga lapan daripada keseluruhan 14 kerusi DUN Warisan dikenal pasti berpotensi dirampas dengan bantuan PH pada PRN Sabah ke-17.

Unjuran itu dikemukakan bersandarkan data kumulatif jumlah undian dicampur antara GRS-PH pada PRN16 serta kemungkinan berlaku proses pemindahan undi GRS-PH sebanyak 100 peratus.

Hasil pemerhatian Sinar Harian, enam hingga lapan kerusi DUN Warisan yang kini menjadi 'grey area' kepada parti itu dan mampu ditembusi GRS adalah Banggi, Tanjong Kapor, Darau, Petagas, Moyog, Kukusan, Kunak dan Tungku.

GRS mampu ambil alih kerusi Warisan

Pandangan itu turut disokong Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Ruslan Muharam yang menegaskan GRS berpotensi merebut sekurang-kurangnya tiga hingga empat kerusi Warisan berasaskan momentum politik semasa.

Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan itu menegaskan kebarangkalian GRS menawan semula kerusi-kerusi yang kini dikuasai Warisan pada PRN17 hanya akan menjadi realiti sekiranya gabungan pemerintah itu berjaya mengekalkan solidariti politik dengan BN Sabah dan PH.

**media[3260799]**

"Angka itu bersyarat serta bergantung kepada sejauh mana GRS mampu menyatukan persefahaman dengan BN dan PH, selain mengelakkan pertindihan kerusi yang berisiko menggagalkan strategi mereka sendiri.

"Tanpa kerjasama jujur dan ikhlas antara tiga komponen utama tersebut, harapan untuk menembusi kubu kuat Warisan bakal berdepan risiko besar," katanya.

Walaupun retorik setiakawan sering dilaungkan, Ruslan mengingatkan bahawa politik Sabah tidak sunyi daripada percaturan tersembunyi.

Katanya, wujud kebimbangan BN mungkin memilih untuk menjalin kerjasama tidak rasmi dengan pihak lawan sekiranya tuntutan kerusi mereka tidak dipenuhi.

"BN dan PH memang ada cita-cita mahu berkuasa, tetapi rakyat mahu parti lokal jadi teraju, manakala parti nasional hanya melengkapi," kata Ruslan.

Pemilihan calon penting

Selain isu pengagihan kerusi, Ruslan turut menekankan kepentingan pemilihan calon mengikut demografi.

Contohnya di Pantai Barat, kawasan seperti DUN Melalap memerlukan calon daripada etnik Kadazan Dusun Murut (KDM) untuk menjamin sokongan majoriti pengundi.

"Di Pantai Timur, sudah pasti calon-calon diketengahkan perlu memenuhi aspirasi masyarakat Bugis dan Bajau Suluk yang menjadi majoriti penduduk di situ.

"Kegagalan menyesuaikan calon dengan realiti etnik setempat boleh membuka ruang kepada Warisan mengekalkan kelebihan mereka di kerusi tradisi," tegasnya.

Secara keseluruhannya, tidak keterlaluan untuk mengatakan GRS berpotensi menggegarkan kubu kuat Warisan dengan bantuan PH dan mungkin BN, khususnya di kawasan majoriti tipis atau di mana bekas ADUN Warisan sudah menyertai GRS.

Sebagai negeri multietnik dengan bilangan 1,767,267 pengundi berdaftar setakat April 2025 (termasuk lebih 200,000 di Semenanjung), isu etnik, hubungan federalisme melalui Perjanjian Malaysia 1957 (MA57), projek infrastruktur dan hasil bumi akan mendominasi kempen PRN17.

Dalam keadaan itu, GRS dijangka menggunakan naratif kestabilan, pembangunan dan konsistensi untuk mengekalkan kelebihan memegang tampuk pentadbiran, manakala Warisan pula bergantung kepada pengaruh tokoh setempat di pantai timur.

INFO : FAKTA PRN SABAH ke-17:

1) DUN Sabah bubar hujung September 2025, PRN17 untuk 73 kerusi.

2) Majoriti mudah bentuk kerajaan: 37 kerusi.

3) GRS kini kuasai 31–32 kerusi; Warisan tinggal 14 kerusi.

4) Pantai Barat didominasi GRS manakala Warisan masih mempunyai pengaruh besar di Pantai Timur

5) Isu PTI (Pendatang Asing Tanpa Izin), lompat parti dan pembangunan jadi cabaran besar Warisan dalam menyakini pengundi mereka untuk menewaskan GRS.

6) GRS berpotensi merampas sekurang-kurangnya enam hingga lapan kerusi DUN Warisan dengan bantuan PH.

7) Pengundi berdaftar: 1,767,267 orang (termasuk 200,000 di Semenanjung).