SHAH ALAM – Pemimpin Pas disaran mengurangkan imej membolot agama, eksklusif dan meminggirkan rakyat, sebaliknya mula fokus pada integriti serta penyelesaian masalah rakyat berbilang bangsa sekiranya parti tersebut bercita-cita untuk menarik undi masyarakat Cina dan India.
Bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, Pas mempunyai kekuatan dan kelebihan imej bersih, lembut serta suci yang boleh dipasarkan kepada masyarakat bukan Islam yang sudah jelak dan jemu dengan politik serta retorik kosong yang penuh dengan penipuan.
Menurutnya, sekiranya Pas berjaya menonjolkan sikap lebih bertimbang rasa, sokongan masyarakat Cina dan India kepada Perikatan Nasional (PN) dijangka akan mula mengalir dan meningkat walaupun tidak secara mendadak.
“Ini kerana masyarakat Cina dan India sudah kehilangan payung dan teduh Barisan Nasional (BN) selama ini. Mereka pun sudah hampa dan ‘goyang’ terhadap dasar serta pergerakan Madani yang jauh daripada janji-janji reformasi sebelum ini.
“Tonjolkan integriti, timbang rasa dan parti yang bencikan rasuah (bukankah ini ajaran Islam yang sebenar?).
“Jika konsisten melawan rasuah dan menegakkan keadilan serta kebenaran, Pas akhirnya akan lebih mudah diterima masyarakat bukan Melayu yang menolak kronisme dan salah guna kuasa yang mereka sudah muak,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Sebelum ini, Lian Ker berkata, kaum Cina dan India masih belum boleh menerima Pas, susulan pelawaan untuk MIC dan MCA menyertai mereka.
Sehubungan itu, dalam hantaran tersebut, beliau turut menyenaraikan beberapa panduan lain yang membolehkan Pas menarik undi Cina dan India.
Beliau berkata, Pas perlu fokus kepada masalah harian rakyat, bukannya retorik politik dan agama seperti ‘ketuanan Melayu’ serta ‘politik Islam’ berwajah keras dan menakutkan.
Ini kerana, tegas beliau, ramai pendakwah berjaya mengislamkan mualaf bukan melalui dakwah hukum Islam semata-mata tetapi melalui timbang rasa, keprihatinan dan kebajikan yang diberi.
“Masyarakat Cina dan India menilai parti berdasarkan penyelesaian isu ekonomi, pendidikan, kos sara hidup dan peluang pekerjaan yang telah diamalkan oleh BN dahulunya, sehinggalah UMNO mula menunjukkan ‘taring ketuanan’ dan kerakusan kuasa untuk membolot kekayaan.
“Jadikan Pas sinonim dengan sebuah parti yang beramal dan memberi penyelesaian praktikal kepada bangsa dan negara, bukannya sekadar retorik moral,” ujarnya.
Beliau menegaskan, amalan naratif politik yang lebih universal dan inklusif amat dituntut, sekali gus memerlukan Pas bersuara sebagai parti untuk semua rakyat, bukan hanya untuk Melayu-Muslim.
“Gunakan slogan yang mengangkat kesejahteraan rakyat, keadilan ekonomi, kebajikan, penyediaan rumah mampu milik, peluang perniagaan, pengukuhan pendidikan berkualiti untuk semua bangsa, dan bukannya terperangkap dengan ungkapan serta laungan yang sedap didengar oleh penyokong sahaja,” katanya.
Justeru, beliau turut mengingatkan Pas agar mendekati komuniti Cina dan India secara ikhlas, bukan sekadar berpolitik dengan hadir ketika musim pilihan raya.
“Sertai aktiviti kebudayaan, ziarah rumah ibadat, duduk semeja dalam forum masyarakat majmuk.
“Wujudkan kepimpinan Cina dan India dalam Pas supaya mereka tidak rasa hanya sebagai pelengkap semata-mata,” katanya.
Selain itu, beliau juga menggesa Pas menyatakan sokongan terbuka terhadap sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT), serta kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.
“Pas perlu memberi jaminan bahawa hak pendidikan dan budaya bukan Melayu yang sedia ada akan terus dilindungi seperti dalam Perlembagaan, apabila ada golongan dalam UMNO yang cuba menghapuskan atau menutup sekolah-sekolah sedemikian,” tegasnya.