SHAH ALAM - Sifat Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) yang dilihat gemar mencabar dan mengancam sesiapa sahaja yang tidak selari dengan pendirian mereka bukan sahaja gagal menyelesaikan isu pokok, tetapi juga mewujudkan konfrontasi yang boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan negara.
Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, sebenarnya tiada keperluan untuk melakukan provokasi seperti yang dilakukan sekarang.
Menurutnya, terdapat gerakan oleh DAPSY yang mengeluarkan kenyataan secara terbuka dan mencabar untuk memutuskan hubungan dengan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan sebagainya.
“Kamu boleh tidak bersetuju dengan dia, tetapi untuk mengeluarkan kenyataan secara ‘loose cannon’, secara besar-besaran kononnya mahu memutuskan hubungan dan menyalahkan seorang pemimpin parti sahaja akan menyebabkan keadaan semakin tegang.
“Dalam konteks yang lebih besar, kenapa perlu adanya ketidakharmonian sebegini?” katanya menerusi laman Facebook pada Rabu.
Beliau yang juga Pengarah Komunikasi Pemuda Barisan Nasional turut mempersoalkan manfaat yang diperoleh daripada tindakan sedemikian.
“Jadi apa manfaatnya? Kadang-kadang saya tertanya juga, adakah kita menyelesaikan masalah pokok?
“Jawapannya tidak, tetapi menimbulkan lebih banyak konflik dan persepsi buruk. Bagi saya, itu adalah strategi yang dilihat sering digunakan oleh DAP,” ujarnya.