Bekas ADUN Palong meninggal dunia

SEREMBAN - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong, Datuk Abd Aziz Shamsudin, 71, meninggal dunia di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah pada Selasa.

Allahyarham yang pernah berkhidmat sebagai ADUN Palong selama dua penggal pada tahun 2004-2013 disahkan meninggal dunia akibat beberapa komplikasi.

Timbalan Ketua UMNO Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan berkata, anak Allahyarham menghubunginya memaklumkan yang bapanya telah meninggal dunia pada jam 4 petang.

"Arwah sememangnya mempunyai masalah kesihatan dan saya pernah melawatnya di hospital dan rumah sebelum ini.

"Tadi, anak lelakinya menghubungi saya maklumkan bapanya telah hembuskan nafas terakhir di hospital. Takziah saya ucapkan," katanya.