PETALING JAYA – Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjangkakan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) pada tahun hadapan bersama beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN).
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, olej demikian Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) kali ini menjadi medan penting untuk Bersatu menyemak dan menilai prestasi di lapangan.
"Ia termasuk meningkatkan latihan jentera di semua peringkat dan mewujudkan kerjasama strategik dengan parti-parti anggota Perikatan Nasional (PN).
"Hala tuju menghadapi PRU16 akan terangkum di dalam ucapan dasar presiden yang turut memberi penekanan terhadap isu-isu semasa termasuk kos sara hidup, ekonomi, kesan pelaksanaan tarif import oleh Amerika Syarikat, peluang pekerjaan anak muda, Islam dan keharmonian rakyat," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Bersatu di sini pada Selasa.
Ujarnya, Bersatu tidak sekadar nama parti tetapi prinsip yang mesti dipegang oleh setiap ahli yang bertunjangkan keutuhan muafakat dan terangkum nilai, budaya serta meraikan kepelbagaian pandangan dengan rasa kasih dan hormat. Inilah antara faktor kemenangan Bersatu.
PAT Bersatu 2025 dijadual berlangsung pada 6 dan 7 September di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam dengan kehadiran 2,555 perwakilan daripada 202 bahagian seluruh negara.
Seramai 94 jemputan khas termasuk wakil kedutaan, pemimpin parti sahabat serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) turut dijangka hadir, selain pengesahan kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad.
Mengulas lanjut, katanya, seramai 2555 orang perwakilan dari 202 Bahagian akan hadir pada perhimpunan tersebut.
"Bersatu merupakan parti politik yang terbesar dan mempunyai tapak sokongan yang kuat di seluruh negara termasuk 25 Bahagian di Sabah, 11 Bahagian di Sarawak dan 1 Bahagian di Wilayah Persekutuan Labuan," katanya.
Katanya lagi, sambutan Ulangtahun ke 9 Bersatu pula akan diadakan pada 7 September 2025, Ahad pada jam 8.30 malam di IDCC