SHAH ALAM - MCA menggesa Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) agar menjalankan semakan menyeluruh berhubung insiden gangguan terhadap sistem terminal MyKasih untuk Sumbangan Asas Rahmah (SARA) baru-baru ini.
Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkata, kementerian tersebut juga perlu mendedahkan punca sebenar kegagalan sistem berkenaan serta menjelaskan langkah-langkah yang akan diambil bagi memastikan agihan bantuan pada masa hadapan tidak menghadapi masalah yang sama.
“Dakwaan mengenai ‘keadaan tidak dijangka’ turut menimbulkan kebimbangan serius. Jika kerajaan tidak mampu menjangkakan reaksi jelas daripada rakyat, bagaimana rakyat boleh bergantung kepadanya untuk mengurus cabaran yang lebih besar pada masa hadapan?” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Tinjauan Sinar Harian pada hari pertama penyaluran SARA bernilai RM100 di beberapa negeri mendapati berlaku kesesakan di kaunter khas SARA susulan gangguan sistem berkenaan.
Disebabkan situasi itu, ramai pembeli mengambil pendekatan meninggalkan barangan di dalam troli tanpa membuat pembayaran, manakala sebahagian lagi memilih untuk membayar dengan wang sendiri di kaunter pembayaran biasa.
Menurut Jeck Seng yang juga Ahli Parlimen Tanjung Piai, bantuan melibatkan lebih 20 juta penerima itu sememangnya memerlukan perancangan yang teliti, koordinasi serta langkah keselamatan yang mantap.
“Lebih membimbangkan, dengan menggambarkan permintaan bantuan ini sebagai berlebihan, kerajaan seolah-olah cuba meletakkan kesalahan kepada rakyat, bukannya mengakui kelemahan sendiri.
“Hakikatnya, ramai rakyat yang terhimpit dengan kos sara hidup telah lama menantikan bantuan RM100 ini. Malah, ada yang menangguhkan pembelian barangan asas sehingga bantuan SARA disalurkan demi meringankan beban kewangan mereka.
“Hal ini boleh menjelaskan mengapa terdapat lonjakan segera dalam pembelian barangan asas sebaik sahaja bantuan berkenaan dilepaskan,” katanya.