Tak perlu usul kekal presiden, bawa isu rakyat dalam PAT Bersatu - Muhammad Fadhli

IPOH – Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang akan berlangsung hujung minggu ini perlu dijadikan medan untuk membincangkan penyelesaian masalah rakyat, bukannya platform mengejar cita-cita peribadi.

Ketua Bersatu Bahagian Ipoh Timor, Muhammad Fadhli Ismail berkata, tumpuan terhadap isu siapa calon Perdana Menteri tidak harus menjadi perkara pokok yang harus dibincangkan secara serius dalam perhimpunan nanti.

Menurutnya, perkara lebih utama ialah bagaimana Bersatu dapat membela nasib rakyat yang sedang tertekan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya ada mendengar bahawa terdapat usaha menggerakkan perwakilan termasuklah perwakilan sayap-sayap untuk membawa usul mengekalkan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku calon Perdana Menteri dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti yang saya lihat secara peribadi sebagai penghinaan kepada presiden oleh mereka yang masih mentah dalam Bersatu.

"Ketaatan dan kesetiaan kami adalah kepada presiden dan juga parti. Jangan rosakkan imej Tan Sri dengan membawa usul 'Kekal Presiden' pada PAT kali ini yang membayangkan seolah-olah Tan Sri Muhyidin tidak mendapat sokongan jitu daripada semua ahli,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Muhammad Fadhli berkata, Muhyiddin merupakan seorang pemimpin berjiwa besar dan sudah menyatakan pendirian berhubung pelan penggantian kepimpinan sebelum ini.

Beliau menyifatkan usul untuk mengekalkan presiden itu dirancang bagi memastikan kelangsungan politik individu tertentu yang bergantung kepada Muhyiddin.

Katanya, mereka yang mahu mencadangkan usul itu gagal membaca isyarat daripada parti komponen Perikatan Nasional (PN) yang mahukan wajah baharu sebagai calon Perdana Menteri.

Menurutnya, sudah beberapa kali signal diberikan bahawa PN memerlukan wajah baharu yang lebih segar termasuk cadangan Pas supaya struktur atasan PN dirombak dan komen-komen pemimpin parti komponen PN mengenai pilihan calon PM yang tidak menyebut nama Muhyiddin.

Sementara itu, beliau menegaskan, ketua-ketua bahagian Bersatu merupakan benteng utama parti yang sentiasa dekat dengan ahli dan masyarakat, justeru usaha mereka tidak wajar direncatkan dengan agenda individu.

“PAT kali ini seharusnya diguna untuk menunjukkan kesungguhan Bersatu mentadbir negara dan membentangkan tawaran penyelesaian kepada rakyat.

"Jika PAT dipergunakan untuk mengejar jawatan dan takhta, Bersatu hanya akan malu di mata rakyat,” katanya.

Jelas Muhammad Fadhli, PAT kali ini harus digunakan oleh Bersatu untuk menunjukkan kesungguhan parti untuk mentadbir negara.

Katanya, dalam perhimpunan nanti perwakilan perlu tampil dengan membawa tawaran-tawaran parti untuk rakyat.